Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemantauan lebih ketat akan dilakukan bagi pastikan orang politik hormati masjid - Tosrin


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Pemantauan lebih ketat akan dilakukan bagi memastikan semua pihak khususnya orang politik menghormati masjid di negeri ini sekali gus tidak menjadikan tempat ibadat tersebut sebagai pusat penyebaran fahaman politik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata arahan kepada Pejabat Kadi seluruh daerah juga sudah dikeluarkan supaya kesemua borang kebenaran berceramah di masjid dihantar kepada beliau untuk penelitian, mulai bulan depan.

“Terdapat garis panduan dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan kita sudah edarkan kepada semua jawatankuasa masjid.

“Sepatutnya pengurusan jawatankuasa masjid mesti mendapatkan nasihat atau pandangan kadi daerah dahulu. Kita bukan melarang sama sekali tetapi ada juga batas dan tata susila tertentu untuk menjemput orang bukan Islam di luar masjid. Ada garis panduan yang mana kebanyakan pengurusan jawatankuasa masjid tidak mendapatkan pandangan pejabat kadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular beberapa kejadian melibatkan ahli politik termasuklah ahli politik bukan beragama Islam berucap dalam surau atau masjid di negeri ini sehingga mengundang kritikan ramai pihak.

Tosrin berkata garis panduan yang dikeluarkan MAINJ diharap dapat mengekang orang politik sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang menjadikan masjid sebagai gelanggang politik.

“Saya sudah beri arahan kepada semua kadi supaya mulai Julai ini (bulan depan), saya minta mereka menghantar pada tiap-tiap bulan borang kebenaran berceramah di masjid untuk saya teliti sendiri sama ada mendapat kebenaran ceramah atau tidak.

“Jangan jadikan masjid gelanggang politik sebaliknya masjid adalah tempat pengukuhan dan penyatuan ummah,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel