Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Beberapa penambahbaikan terhadap 'drawbridge' untuk keselesaan pengguna


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) -- Beberapa penambahbaikan akan dibuat di jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Terengganu terutama yang melibatkan aspek kelancaran trafik dan keselamatan pengguna.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ada beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan semula termasuk kedudukan palang di kiri kanan jambatan yang agak rendah, tanda jalan serta kekerapan lampu isyarat yang mengganggu kelancaran trafik.

"Perlu ada kajian mendalam mengenai aliran mana yang memerlukan tempoh lampu isyarat yang lebih lama atau lebih singkat bagi memastikan trafik berjalan lancar, namun, pada dasarnya saya sangat berpuas hati kerana pembukaan jambatan itu terbukti berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu kemuncak Aidilfitri baru-baru ini.

"Kebiasaannya, trafik sangat teruk di Jambatan Sultan Mahmud setiap kali Aidilfitri, namun pada tahun ini, tiada kesesakan teruk dilaporkan untuk perjalanan yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Ini menjadikan matlamat kita (kurangkan kesesakan) itu berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis meraikan kejayaan Pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini hari ini.

Pasukan tersebut memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan bertaraf antarabangsa 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2019) yang berlangsung di Palace Culture, Romania pada 16 hingga 18 Mei lalu.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu menjadi yang pertama di Asia Tenggara dan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Pada 2 Jun lalu, jambatan itu mula dibuka kepada orang ramai untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem lampu isyarat jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun ini, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain projek itu dan tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai.

Ditanya langkah kerajaan negeri untuk mencantikkan lagi pemandangan di sekitar jambatan angkat itu termasuk kawasan pantai yang digelar netizen sebagai 'Miami Beach' agar terus menjadi daya tarikan pelancong, Ahmad Samsuri berkata ia telah berada dalam perancangan pihak berkuasa.

"Beberapa penambahbaikan akan dibuat termasuk laluan basikal dari Teluk Ketapang sehingga ke Kuala Ibai. Selain itu, tentunya kemudahan di kawasan pantai juga akan dipertingkatkan seperti parkir kenderaan kerana orang ramai mahu mengabadikan foto dan video berlatarbelakangkan jambatan angkat ini.

“Semestinya keselamatan mereka akan diutamakan. Ia antara beberapa aspek yang akan dilihat setelah jambatan ini ditutup semula 17 Jun nanti untuk penilaian dan penambahbaikan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel