Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA sedia bimbing petani, bantu keluar daripada kemiskinan


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia memberi bimbingan kepada petani khususnya pesawah dalam usaha untuk membantu golongan terbabit keluar daripada garis kemiskinan dengan meningkatkan kaedah pertanian secara moden.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata FAMA menyambut baik cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengatasi masalah tersebut dengan memperbaharui cara penanaman selain memperkenalkan tanaman kontan yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil padi.

"Kerajaan beri perhatian yang serius pada bidang penanaman sebab itu golongan pesawah digalakkan untuk menanam tanaman jenis jangka pendek seperti tembikai, jagung manis dan sayur-sayuran.

"FAMA bukan sahaja akan bantu dari aspek pemasaran sebaliknya dari peringkat awal lagi kita akan bantu antaranya dengan mengenal pasti dan mencadangkan jenis tanaman yang sesuai ditanam dan jenis tanah yang sesuai," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir semalam, mengenai isu kemiskinan dalam kalangan pesawah dan antara faktor yang didapati menyumbang kepada perkara itu adalah kerana  terlalu bergantung kepada hasil padi.

Ahmad berkata jika pesawah melaksanakan tanaman jangka pendek, ia bukan sahaja dapat meningkatkan  pendapatan mereka tetapi dapat memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.

"Pesawah yang menjalankan tanaman jangka pendek ini juga dapat pastikan pengguna dapat bekalan yang segar, berkualiti dengan harga yang berpatutan. Sebenarnya banyak tanaman yang kita mampu keluarkan sendiri dan terlalu banyak sangat mengimport, tidak bagus untuk ekonomi negara.

"Jadi, jika pesawah menyahut seruan Perdana Menteri banyak yang boleh dimanfaatkan oleh mereka melalui FAMA termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan FAMA termasuk pusat pengumpulan tanaman, tempat simpanan, pemprosesan dan pengangkutan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 800 pasar tani telah diwujudkan di seluruh negara dan FAMA menyasarkan jumlah itu mencecah 1,000 pasar tani menjelang 2020, selain memfokuskan produk lain termasuk MyFarm Outlet dan Agro Bazar.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel