Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penularan pneumonia dalam kalangan Orang Asli tiada kaitan dengan pencemaran air - Timbalan MB


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Penularan jangkitan radang paru-paru dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, disahkan tiada kaitan dengan isu pencemaran air atau aktiviti pembalakan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan dan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini memberi kelegaan kepada kerajaan negeri kerana sebelum ini macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kerajaan negeri yang dikaitkan dengan isu Orang Asli di Gua Musang, kata beliau.        

"Malah, Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sendiri menjelaskan bahawa isu Orang Asli di perkampungan itu tiada sangkut paut dengan pencemaran air atau perlombongan seperti didakwa sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri melalui syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terus menghantar bekalan air bersih ke penempatan Orang Asli di Kuala Koh walaupun air di kawasan berkenaan disahkan selamat untuk digunakan.

"Kita juga difahamkan terdapat telaga tiub dibina di kawasan itu. Bila disahkan air di kawasan itu selamat digunakan, masyarakat Orang Asli di situ juga boleh menggunakan kemudahan itu," katanya.

Mengenai aktiviti perlombongan haram yang didakwa sesetengah pihak berlaku di kawasan itu, beliau berkata Gua Musang kaya dengan pelbagai sumber galian namun kerajaan negeri mempunyai kawalan tertentu untuk sebarang aktiviti perlombongan.

Beliau turut difahamkan bahawa sebuah kawasan perlombongan yang terletak di Kuala Koh juga beroperasi secara berlesen.

Beliau enggan mengulas lanjut namun meminta pihak media mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar  kematian akan diketahui hanya  setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

-- BERNAMA   


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel