Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada isu main harga dalam kalangan peniaga


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) - - Tidak timbul isu 'main harga’ dalam kalangan peniaga terutamanya membabitkan barang keperluan harian mahupun barang kawalan, walaupun permintaan bagi barangan tersebut meningkat sempena musim perayaan Aidilfitri.

Perkara itu diakui seorang peniaga pasar harian Shaharom Shah, 28, yang turut menyifatkan harga barang yang dijual kepada pengguna, berpatutan.

"Sebagai peniaga kita tidak main harga atau menaikkan harga barang suka-suka... walaupun permintaan barang itu meningkat contohnya seperti santan dan beberapa barang basah lain, itu bukan alasan untuk kita nak naikkan harga barang.

"Stok barang-barang seperti itu juga cukup untuk keperluan pengguna jadi kita memang akan ikut harga yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Shaharom berkata operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan agensi berkaitan bagi memantau harga barang terutamanya bagi barangan harga terkawal turut mengekang kenaikan harga barang terutamanya di pasar harian dan pasar basah di sekitar Shah Alam.

"Mungkin pengguna boleh perolehi barang-barang ini di pasaraya besar sedikit murah berbanding di pasar biasa kerana mereka melaksanakan promosi perayaan untuk barang-barang tersebut, tetapi bagi saya perbezaannya tidak ketara mungkin dalam beberapa sen sahaja," katanya.

Seorang suri rumah, Kamsiah Said, 65 pula berpuas hati dengan harga barang yang ditawarkan penjual sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, harga barang mentah seperti sayur, ikan dan ayam terutamanya di pasar harian dilihat berpatutan selain beliau tidak mengesan sebarang kenaikan harga barang.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Aznan Ibrahim berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barang sempena musim perayaan ini.

"Setakat ini, tiada aduan atau laporan berkaitan peniaga yang menaikkan harga barang.

"Kita berharap peniaga meletakkan harga terutamanya bagi barangan dalam senarai barang kawalan seperti mana yang ditetapkan kerajaan supaya tidak membebankan pengguna, “ katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel