Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Haris Kasim angkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang baharu


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) -- Bandar raya Shah Alam mendapat Datuk Bandar baharu apabila Datuk Haris Kasim mengangkat sumpah jawatan itu di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Haris, 57, yang berasal dari Perak, merupakan datuk bandar Shah Alam kelapan menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah, Tanah & Galian (JKPTG) pada Januari lepas.

Majlis mengangkat sumpah jawatan itu disaksikan oleh Orang Besar Daerah Petaling Datuk Emran Kadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan, anggota-anggota majlis MBSA serta ketua-ketua jabatan terlibat.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Malaya (UM), beliau juga mempunyai Diploma dalam Pentadbiran dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN) serta berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Sebelum memulakan tugas sebagai datuk bandar Shah Alam pada 3 Jun lepas, Haris merupakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak tahun 2015.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor pada 2005 hingga 2011, pegawai daerah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat pada 2011, serta pegawai daerah PDT Sepang (2012 hingga 2014).

Haris yang ditemui pemberita selepas majlis mengangkat sumpah itu menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberi kepadanya untuk menerajui pengurusan MBSA.

Beliau turut menggariskan lima teras yang akan ditumpukan oleh MBSA dalam menjadikan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya yang selamat, selesa dan sejahtera (3S).

“Fokus utama adalah terhadap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk memperkasakan kerja-kerja berkaitannya. Selain itu, kita akan mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang, serta menyedia dan mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi.

“Tumpuan juga akan diberikan untuk menambah hasil MBSA melalui kutipan tunggakan dan meningkatkan hasil majlis melalui sumber hasil baharu. Kita turut mahu memperkasakan sumber manusia iaitu dengan memantapkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan melalui kursus serta latihan,” katanya.

Haris turut memohon kepada seluruh warga Shah Alam supaya dapat bergerak seiringan serta bersama-sama membantu MBSA menjadikan bandar raya berkenaan sebuah lokasi yang berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel