Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

HMA 2019 akan diadakan di Sabah bulan depan


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pelancong dalam dan luar negara berpeluang mengenali dan menyertai sukan tradisional Sabah apabila Jabatan Muzium Sabah menganjurkan Hari Muzium Antarabangsa 2019 (HMA 2019) peringkat kebangsaan pada 15 hingga 20 Julai ini di Kota Kinabalu.

Pengarah Muzium Alam Semula Jadi, Jabatan Muzium Malaysia Dr Farizawati Sabri berkata terdapat sembilan sukan tradisional Sabah akan dipamerkan seperti menyumpit, membujak, rampanau, sepak manggis dan monompuri.

Farizawati yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk Sambutan HMA 2019 Jabatan Muzium Malaysia berkata acara sukan yang akan diadakan di Kampung Warisan 1 dan 2, Muzium Negeri Sabah itu adalah satu daripada tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan.

"Pelbagai aktiviti telah dirangka untuk sambutan pada tahun ini. Antaranya adalah pameran oleh 24 buah muzium dari seluruh Malaysia dan juga pameran oleh Muzium Kapuas Raya, Kalimantan.

"Pada tahun ini, keistimewaan budaya dan tradisi di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik  ditonjolkan dalam setiap program yang akan diadakan seperti program sukan tradisi, muzium bersama komuniti Melayu-Brunei di Kampung Benoni, Papar dan Jesselton Heritage Treasure Hunt yang akan menelusuri tempat-tempat bersejarah di sekitar Kota Kinabalu," katanya kepada Bernama.

HMA disambut setiap tahun sebagai satu bentuk pengiktirafan oleh kerajaan terhadap kepentingan muzium dan fungsinya dalam masyarakat dan pembentukan negara.

"Perayaan yang diilhamkan oleh International Council of Museums (ICOM) ternyata mendapat sambutan yang baik apabila 145 negara telah mengiktiraf dan mengambil inisiatif untuk memartabatkan perayaan Hari Muzium Antarabangsa ini.

"Sehingga kini, Hari Muzium Antarabangsa telah disertai oleh hampir 35,000 muzium yang menganjurkan pelbagai acara sambutan di seluruh dunia," katanya dan berharap orang ramai di sekitar Kota Kinabalu akan hadir memeriahkan sambutan HMA 2019.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung akan menghadiri HMA 2019 di Perkarangan Kompleks Muzium Negeri Sabah.

Tema sambutan tahun ini yang ditetapkan oleh ICOM ialah ‘Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi’.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel