Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Songsong wajar dibangunkan sebagai pulau bersejarah


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Pulau Songsong yang terletak di perairan daerah Yan wajar dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bersejarah kerana ia memiliki kisah tersendiri yang mampu menarik minat orang ramai berkunjung ke pulau itu.

Pakar Sejarah Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata pulau itu dikatakan pernah menjadi lokasi pahlawan nusantara berkumpul bersama Tunku Muhammad Saad Tunku Daud (anak saudara kepada Sultan Kedah ke-22 Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II) bagi merampas semula Kedah daripada penaklukan Siam pada Ogos 1838.

“Di Pulau Songsong inilah pahlawan nusantara antaranya dari Rembau, Acheh, Pattani dan juga Perak melabuhkan kapal mereka berkumpul beramai-ramai untuk bergerak bersama Tunku Muhammad Saad  untuk menyerang Siam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Wan Shamsudin berkata dalam pertempuran yang diketuai Tunku Muhammad Saad itu, Kedah berjaya merampas Kota Kuala Kedah dan Alor Ganu, di sini daripada Siam dan kemudian meneruskan pelayaran sehingga ke Singgora (Songkla) untuk menghalang kemaraan tentera Siam memasuki negeri ini semula.

“Alor Ganu ketika itu merupakan pusat pentadbiran kerajaan Siam di Kedah. Serangan Tunku Muhammad Saad bersama pahlawan nusantara ini turut disertai Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani yang merupakan ulama nusantara terkenal di Makkah sebelum ulama ini terbunuh dalam pertempuran itu di Singgora,” katanya.

Wan Shamsudin yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah berkata meskipun hanya beberapa bulan sahaja Kedah berjaya dirampas semula menerusi pertempuran itu sebelum negeri ini jatuh semula ke tangan Siam pada 1839, namun jasa dan pengorbanan pahlawan nusantara bersama Tunku Muhammad Saad itu perlu diingati terutama oleh golongan muda.

“Jadi, antaranya adalah dengan menaik taraf pulau ini sebagai pulau bersejarah dengan pelbagai kemudahan lengkap termasuk perlu ada jeti serta menyediakan laman info sejarah di kawasan pulau tersebut agar pengunjung boleh mengetahui signifikan Pulau Songsong ini kepada sejarah Kedah,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, pengusaha bot yang membawa pelancong ke Pulau Songsong, Muhd Nazri Mat Yusop yang melihat potensi pulau itu untuk dibangunkan seperti Pulau Perhentian di Terengganu dengan pelbagai prasarana lengkap.

Katanya, perkara utama yang perlu diberikan perhatian adalah pembinaan jeti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan selain menaik taraf sistem bekalan air bersih dan menempatkan pihak bertanggungjawab menjaga kebersihan di pulau itu.

“Sekarang ini pelancong akan menaiki bot dari Kompleks LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) Kuala Sungai Udang di Yan. Di Pulau Songsong juga tiada jeti lengkap, hanya jeti terapung disediakan pihak Jabatan Taman Laut. Jadi, untuk masuk ke Pulau Songsong tidak boleh masuk sesuka hati, kita kena tengok paras air pasang terlebih dahulu.

“Selain itu, tandas dan surau ada tetapi kadangkala bekalan air tidak mencukupi dengan pelancong terpaksa menggunakan air botol. Sistem bekalan air yang ada di situ hanya dari telaga dan menggunakan air masin. Kalau terlampau ramai pelancong satu-satu masa, memang tidak cukup air.

“Tandas juga kotor apabila kami dapati ada juga pelancong yang datang ke Pulau Songsong ini tidak jaga kebersihan tandas.

Muhd Nazri berkata buat masa ini komuniti bot Songsong yang terdiri daripada nelayan, yang bertanggungjawab menjaga kebersihan sekitar pulau itu termasuk mencuci tandas dan menebas semak samun di situ tanpa sebarang upah.

“Saya termasuk dalam komuniti ini, sama-sama menjaga pulau Songsong. Sebelum ini banyak semak samun kami sendiri yang bersihkan. Kami seramai 12 pengusaha bot dalam komuniti ini berkongsi duit hasil daripada membawa pelancong ke Pulau Songsong, untuk bersihkan pulau ini,” katanya.

Sehubungan itu, Muhd Nazri berkata kerajaan negeri sememangnya wajar mempertimbangkan keperluan menaik taraf Pulau Songsong sebagai satu daripada lokasi pelancongan menarik di Kedah yang ada sejarah tersendiri untuk tatapan generasi akan datang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel