Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hasrat TFC guna khidmat pemain import baharu tidak kesampaian


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) -- Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk menggunakan khidmat pemain import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo dalam dua perlawanan Liga Super menentang Melaka United dan Perak pada pertengahan bulan ini, mungkin tidak kesampaian.

Ia berikutan pemain pertahanan diberi jolokan 'The Tanker' itu belum menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata pihaknya sudah menyempurnakan segala dokumen diperlukan dalam prosedur Sistem Pemadanan Pemindahan (TMS) FIFA melibatkan perpindahan pemain antara negara, dan sebaik ITC diterima, Camilo akan diterbangkan ke negara ini untuk menyertai TFC.

"Susulan itu, TFC berkemungkinan besar terpaksa menempuh dua perlawanan menentang Melaka pada 15 Jun dan Perak pada 18 Jun, (kedua-dua perlawanan) di gelanggang lawan tanpa kelibat Camilo yang ketika ini sedang menjalani latihan bersama kelabnya (Ferroviaria di Brazil).

"Bagaimanapun ia tidak akan menjejaskan prestasi skuad Penyu kerana kita sudah ada pelan dan perancangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan mendatang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebagai persiapan menghadapi perlawanan tersebut, Tengku Farouk Husin berkata pihaknya memutuskan untuk memanfaatkan sepenuhnya sistem 'feeder club' bagi menyerap beberapa pemain yang berbakat daripada TFC 2 ke 'parent club', TFC.

Beliau berkata peranan 'feeder club' sebelum ini berfungsi dengan baik apabila beberapa pemain yang diserap pada awal musim dilihat berjaya memantapkan pasukan utama negeri iaitu TFC.

"Shahrin Sapien, Muhamad Fauzi, Haidir Husani dan Izzan Syahmir Mustafa antara pemain 'feeder club' terpilih membarisi TFC pada awal musim dan terbaharu Abdul Shukor Jusoh dan Muhamad Hafizal di posisi pertahanan kanan pula diketengahkan pemangku jurulatih, Nafuzi Zain pada dua perlawanan baru-baru ini.

"Dengan kualiti yang ada, mereka boleh diangkat ke peringkat lebih tinggi dan membantu memperkukuhkan pasukan TFC," katanya, sambil mengakui ketiadaan bekas ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rombakan pasukan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel