Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wan Azizah pengerusikan mesyuarat tergempar bincang situasi Orang Asli


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memanggil mesyuarat tergempar di sini bagi membincangkan perkembangan terkini situasi Orang Asli daripada suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Dr Wan Azizah yang mempengerusikan mesyuarat selama dua jam di Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu mencerminkan keseriusan dan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kesihatan yang sedang dialami kaum Batek itu.

"Perkara melibatkan nyawa rakyat adalah isu besar yang perlu perhatian khusus dan tindakan menyeluruh,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau.

Beliau berkata setiap agensi yang terlibat akan memastikan isu itu ditangani sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin.

Dr Wan Azizah dijadualkan ke Kelantan pada Jumaat ini bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan isu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata semalam dua kes kematian Orang Asli tersebut disahkan berpunca daripada radang paru-paru.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel