1PRQ_imBztQ Polis Kelantan jangka pencarian mayat 12 Orang Asli makan masa
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan jangka pencarian mayat 12 Orang Asli makan masa


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Pencarian lokasi 12 mayat Orang Asli suku Batek, yang didakwa dikebumikan di dalam hutan tanpa membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa, dijangka memakan masa, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Hasanuddin berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua 12 mangsa dikatakan meninggal dunia akibat 'penyakit misteri' sejak sebulan lepas, namun tidak dikebumikan di Kampung Kuala Koh dan dibawa keluar dari kawasan perkampungan tersebut, oleh anggota keluarga mereka.

"Apa yang diketahui mayat berkenaan dikebumikan atau ditempatkan di kawasan lain jauh ke dalam hutan, namun polis bersama agensi lain akan berusaha untuk mengesan lokasi kubur berkenaan.

"Operasi sebegini adalah sukar dan sudah pasti memakan masa yang panjang, kerana mayat dikatakan sudah dibawa keluar jauh daripada kampung oleh ahli keluarga mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Kementerian Kesihatan, dijangka memulakan operasi pencarian itu dalam masa terdekat.

Katanya polis akan cuba mengenal pasti lokasi mayat dikebumikan terlebih dahulu, sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk menggali semula kubur mangsa.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan sebagai berkata kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan selepas mati akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan, untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum, selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel