Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesuruhjaya Tinggi baharu Kenya mahu hubungan KL-Nairobi diperkukuh


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Selepas memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia pada Februari lepas, Francis N. Muhoro menanam hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Kenya dan melihat ia berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

“Hubungan Kuala Lumpur dan Nairobi sentiasa mesra. Bagaimanapun saya melihat banyak potensi antara kedua-dua negara yang boleh diteroka dengan lebih lanjut dan saya berharap kedatangan saya ke negara ini akan dapat membantu meningkatkan lagi hubungan.

“Saya perlu melakukan banyak perkara, malah saya sudah mula banyak melibatkan diri dengan masyarakat tempatan dan komuniti rakyat Kenya di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual oleh Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.

Malaysia dan Kenya mewujudkan hubungan diplomatik pada 1965. Pada 1997, Nairobi menubuhkan Suruhanjaya Tingginya di Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur membalas dengan membuka Suruhanjaya Tinggi di Nairobi pada September 2005.

Muhoro berkata Kenya berharap untuk menjalin kerjasama rapat dengan Malaysia dalam bidang seperti pembinaan, penjagaan kesihatan, keselamatan makanan dan pembuatan, sambil menambah bahawa kesemua sektor ini adalah selaras dengan agenda pembangunan kerajaan Kenya bagi memacu ekonomi republik itu.

Oleh itu, beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Kenya di sini berminat untuk memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam kesemua bidang ini, terutama dalam pembinaan rumah mampu milik dan penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 “Kerajaan kami berhasrat membina 500,000 rumah mampu milik untuk rakyat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang; oleh itu, dalam sektor ini, kami ingin meneroka dengan syarikat pembinaan Malaysia mengenai bagaimana kami boleh menggunakan teknologi pembinaan untuk membina rumah mampu milik berkualiti untuk rakyat kami,” katanya.

Menyentuh sektor penjagaan kesihatan, beliau berkata Kenya tidak sabar untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam pengurusan sistem penjagaan kesihatan awam yang baik dan kos efektif untuk rakyat.

“Bidang lain yang kami ingin tumpukan ialah pendidikan memandangkan terdapat banyak pihak yang berminat di Kenya yang melihat Malaysia sebagai satu destinasi untuk rakyat kami melanjutkan pengajian mereka,” kata Muhoro.

Muhoro juga berkata beliau juga berharap untuk melihat lebih banyak minat daripada pelabur Malaysia dalam mencari peluang di Kenya.

Beliau berkata Kenya juga berminat untuk menjalin usaha sama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam memerangi jenayah terancang rentas sempadan.

“Kenya ingin bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang ini dan melihat bagaimana kita, bersama-sama, boleh menjadikan sempadan kita selamat,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Madaraka Republik itu di sini baru-baru ini.

Muhoro berkata setakat ini, tiada jalinan kerjasama yang ketara antara Malaysia dan Kenya dalam bidang ini kecuali menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang menyaksikan polis Kenya sebelum ini dihantar untuk menjalani latihan di Malaysia.

Hari Madaraka, yang disambut setiap tahun pada 1 Jun, adalah bagi memperingati hari Kenya mencapai pemerintahan mandiri dari Britain pada 1963.

Ia kemudian memperoleh kemerdekaan sepenuhnya pada 12 Dis tahun yang sama.

Sejumlah 300 rakyat Kenya di Kuala Lumpur menghadiri sambutan itu di sini.

 -- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel