Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sebahagian Orang Asli Kuala Koh 'pulang' dapatkan bantuan


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





GUA MUSANG, 11 Jun (Bernama) -- Sebahagian daripada kira-kira 100 penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh Gua Musang yang berpindah ke penempatan sementara termasuk ke dalam hutan setelah perkampungan mereka dilanda krisis kesihatan kembali ke penempatan tetap bagi mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, ada sebahagian lagi yang terus menghilangkan diri ke dalam hutan kerana dikatakan takut dengan kehadiran agensi kerajaan termasuk pegawai kesihatan dan bomba.

Seorang penduduk, Inja Punai ,32, berkata penduduk di kampung itu mempunyai dua puak iaitu yang suka berpindah-randah kerana takut atau malu, manakala satu lagi kumpulan tidak kisah  dengan kehadiran orang luar dan sedia menerima bantuan.

Katanya, mereka yang kini menetap di penempatan sementara kira-kira tiga kilometer dari penempatan tetap kembali ke situ selepas dimaklumankan mengenai agihan bantuan oleh agensi kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya kembali ke penempatan sementara sejak awal pagi tadi selepas mendapat maklumat ada agihan makanan dan minuman serta pemeriksaan kesihatan.

"Saya tidak tahu apa masalah dan punca (jangkitan) namun ia turut menyebabkan isteri, Jelama Jaafar, 36, dan empat anak berusia antara tiga hingga 17 tahun dijangkiti penyakit sama.

"Sebaik menyedari mereka sakit, saya terus  bawa mereka ke hospital di Terengganu untuk mendapatkan rawatan memandangkan isteri saya berasal dari sana," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kolim Terbon, 70, mendakwa dia berpindah ke hutan  kerana mahu mencari buah-buahan dan minuman air bersih sejak bulan lalu.

"Saya khuatir penyakit ini akan merebak dan menjangkiti semua penduduk, termasuk kanak-kanak.

"Makanan dan minuman selama ini kami banyak bergantung kepada sumbangan NGO yang mengunjungi kampung ini. Jika tiada, kami akan mencari hasil hutan dan bekalan air bersih di tadahan bukit dan sungai," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel