Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pantai Hills Resort masih belum mendapat kelulusan MPN


Tarikh kemaskini: 11/06/2019




SEREMBAN, 11 Jun (Bernama) -- Kesemua 11 resort di Pantai Hills Resort (PHR), Jalan Jelebu dekat sini yang beroperasi sejak 10 tahun lepas, didapati masih belum mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong berkata ini kerana kebanyakkan resort berkenaan tidak mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN.

"Antara kesalahan resort terbabit ialah pembinaan bangunan tidak mendapat kebenaran dan dibina di atas tanah pertanian bagi tujuan komersil. Selain itu, kedudukan bangunan yang agak bercerun dan dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan, kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

"Isu penggunaan tanah pertanian untuk tujuan komersil serta penggunaan air dari bukit juga menyalahi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke PHR dekat sini, hari ini.

Kerajaan negeri baru-baru ini menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Teo, bagi membuat siasatan termasuk langkah pemutihan terhadap resort berkenaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah.

Mengulas lanjut, Teo berkata setakat ini empat pemilik resort berkenaan telah menerima Notis Penyalahgunaan Perlanggaran Syarat Nyata Tanah Seksyen 125 Kanun Tanah Negara.

"Kita juga mengenal pasti seramai 44 orang pemilik tanah, membabitkan kawasan seluas 36.98 hektar (91.3 ekar) di resort tersebut. Resort itu terdiri daripada puluhan chalet mewah yang disewa pada kadar RM800 hingga lebih RM1,000 satu malam.

"Walaupun MPN telah mengeluarkan notis, tetapi bukan hasrat kerajaan negeri untuk menyusahkan mereka. Tujuan utama kita menjalankan penguatkuasaan dan pemutihan ini adalah, untuk kita membantu pengusaha resort dan pada masa yang sama kita hendak memastikan keselamatan pengunjung.

"Kita sedia maklum resort ini telah siap dibina dan beroperasi walaupun tidak mempunyai kelulusan, tetapi kerajaan negeri tidak akan meminta penguasa merobohkan atau memindahkan bangunan resort tersebut. Ini kerana mereka telah melabur jutaan ringgit untuk membangunkan resort ini. Malah, resort ini merupakan satu produk pelancongan di negeri ini.

"Oleh itu, kita mengambil pendekatan bagaimana kita boleh membantu penguasaha resort bagi tujuan pemutihan ini. Maka dengan itu MPN akan mengadakan sesi dailog dengan kesemua pemilik tanah resort tersebut di MPN Khamis ini, untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Teo berkata dari segi teknikal beliau menasihatkan pengusaha resort terbabit perlu melantik arkitek dan jurutera mereka sendiri yang bertanggungjawab ke atas reka bentuk dan keutuhan struktur bangunan.

Selain itu, katanya arkitek perunding juga perlu membuat lukisan pelan yang teratur dan mengemukakannya kepada Jabatan Kawalan Bangunan MPN.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel