Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Najib mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pentadbiran SRC - Saksi


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap pentadbiran syarikat SRC International Sdn Bhd berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh syarikat.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail, 54, berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff merujuk beliau kepada pindaan berkaitan Artikel 117 yang ditambah ke dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat oleh Najib, yang juga Advisor Emeritus SRC.

Ishak: Apakah implikasi Artikel 117 itu?  

Ismee: Implikasi Artikel 117 itu ialah SRC perlu mengambil kira nasihat Advisor Emeritus dalam hal membabitkan perkara material dan strategik serta melaksanakan nasihat tersebut. 

Ishak: Siapa Advisor Emeritus?

Ismee: Najib, yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Ishak: Adakah Advisor Emeritus mempunyai kawalan dalam aspek pentadbiran Lembaga Pengarah SRC dan syarikat?

Ismee: Seharusnya ada kawalan.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata beliau tidak dimaklumkan kenapa terdapat pindaan berhubung Artikel 117 dalam Minit Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat tersebut yang bertarikh 23 April 2012.

Sementara itu, semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ismee mengakui beliau tidak melihat sendiri Najib menandatangani minit EGM pada 23 April 2012 yang meluluskan pindaan kepada Memorandum Penubuhan Syarikat.

Pindaan itu dikatakan untuk memasukkan Artikel 117 ke dalam Memorandum Penubuhan SRC International, yang membawa kepada pelantikan Najib sebagai Advisor Emeritus syarikat.

Saksi itu juga mengakui bahawa beliau hanya bergantung kepada apa yang telah diberitahu oleh pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil kepada lembaga pengarah syarikat dalam satu mesyuarat pada 8 Jun, 2012.

Sementara itu, Ismee berkata beliau baru menyedari bahawa minit mesyuarat pada 2013 itu tidak mempunyai tandatangannya setelah ditunjukkan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli, kepadanya.

Harvinderjit: Ada tidak pegawai SPRM meminta daripada kamu dokumen tertentu?

Ismee: Tidak, tetapi Rosli ada bertanya saya sama ada saya mempunyai dokumen-dokumen lain berkaitan SRC di rumah. Jadi, saya balik ke rumah untuk mencarinya dan saya menjumpai dokumen itu dalam beg bimbit saya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel