Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedar cadang kerjasama dengan agensi kerajaan majukan Kuala Koh


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





Oleh Wan Muhammad Wan Adam

MACHANG, 11 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan bekerjasama dengan agensi kerajaan pusat khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memajukan Kuala Koh sebagai pusat pelancongan.

Pengerusi Kesedar Datuk Sazmi Miah berkata Kuala Koh berpotensi untuk dimajukan kerana mempunyai hutan semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian hidupan liar, flora serta fauna.

“Selain itu ia juga mempunyai ekosistem dan hutan hujan tropika yang sesuai dengan aktiviti ekopelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kuala Koh terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir  di Gua Musang yang bersempadan dengan Terengganu dan Pahang.

Sazmi  berkata sehingga kini Taman Negara Kuala Koh dengan kerjasama Kesedar sudah menyediakan kemudahan penginapan seperti chalet, asrama, bilik mesyuarat, restoran, perkhidmatan bot dan tapak perkhemahan.

Beliau berkata sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, lebih 25,000 pelancong telah mengunjungi taman negara tersebut dengan 2.2 peratus terdiri daripada pelancong asing.

Bagaimanapun katanya memandangkan jaraknya yang jauh kira-kira 96km dari pekan Gua Musang, ditambah pula dengan promosi yang kurang dan kekangan kemudahan pengangkutan untuk membawa pelancong ke kawasan itu, telah menjejaskan kedatangan pelancong asing ke kawasan itu.

Sazmi berkata pihaknya akan berusaha untuk  mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu dengan membabitkan agensi kerajaan berkaitan supaya ia menjadi popular dalam kalangan pelancong asing sekali gus memberi manfaat kepada penduduk terutama masyarakat Orang Asli.

Dalam pada itu, Sazmi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Kelantan berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh pihak berkepentingan untuk meraih sokongan.

Sazmi berkata sudah ada pihak berkepentingan cuba melontar kesalahan kepada agensi-agensi kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam isu tersebut.

“Sepatutnya dalam situasi yang tidak menentu seperti sekarang semua pihak perlu cuba untuk membantu agar kejadian itu dapat dibendung dan bukannya mencari kesalahan orang lain,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel