Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Taman Negara Kuala Koh tidak terjejas dengan penularan radang paru-paru


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang yang popular di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa, tidak terjejas berikutan penularan radang paru-paru yang merebak dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek ketika ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata setakat ini Taman Negara Kuala Koh yang terletak kira-kira satu kilometer (km) dari Kampung Kuala Koh, yang terjejas dengan penularan penyakit itu, masih selamat untuk dikunjungi.

“Namun dalam masa yang sama kita menasihatkan pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama membekalkan diri dengan alatan kesihatan seperti topeng muka dan cecair pembersih tangan untuk perlindungan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini, hari ini.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

Untuk rekod, seramai 39,448 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi Taman Negara Kuala Koh bagi tempoh 2010 hingga 2018.

Ady Ermanty Haniff berkata buat masa ini, Perhilitan tidak merancang untuk menutup Taman Negara  Kuala Koh namun pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika mendapat arahan sedemikian.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya mengehadkan aktiviti keluar masuk ke kawasan terjejas dengan penularan penyakit berkenaan dan tidak melibatkan kawasan lain berdekatan perkampungan Orang Asli tersebut.

"Pihak kami turut dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan keadaan di kawasan perkampungan Orang Asli yang terlibat masih terkawal jadi tiada keperluan buat masa ini untuk menutup Taman Negara Kuala Koh kepada orang ramai,” katanya, sambil menambah, kemasukan pengunjung ke taman negara itu yang dibuka setiap hari dilihat tidak terjejas ekoran isu itu.

Dalam perkembangan lain, Ady Ermanty Haniff berkata Perhilitan sedang mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya untuk melindungi dan memulihara populasi harimau belang di Semenanjung daripada terus pupus.

Beliau berkata Perhilitan menganggarkan terdapat kurang 200 harimau belang yang masih menghuni hutan-hutan di Semenanjung ketika ini.

"Kita nasihatkan kepada orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai ladang-ladang pertanian untuk memaklumkan dengan kadar segera kepada Perhilitan jika melihat kelibat harimau di luar habitatnya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel