K'jaan Perlis ganti paip air secara berperingkat - MB Perlis
Tarikh kemaskini: 11/06/2019
KANGAR, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perlis akan menggantikan paip-paip air yang berusia lebih 50 tahun secara berperingkat melalui peruntukan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Tanpa menyatakan jumlah peruntukan diterima, beliau berkata kebocoran paip air berlaku hampir setiap hari kerana sistem paip bawah tanah yang sebahagiannya dipasang sebelum merdeka terlalu uzur dan menjadi punca utama kehilangan air terawat.
"Kita telah mengenal pasti paip-paip yang perlu diganti kerana peruntukan yang diterima tidaklah banyak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Azlan berkata kos sebenar bagi menggantikan keseluruhan sistem paip air di Perlis mencecah berbilion ringgit, namun kerajaan negeri memberi keutamaan di kawasan penting dan mempunyai ramai penduduk.
Katanya gambar paip reput, rosak dan tersumbat yang dirakam Syarikat Air Perlis (SAP) dihantar kepada kerajaan Persekutuan terutama paip bawah tanah sebagai bukti ia perlu digantikan.
-- BERNAMA
|