Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

12 kenderaan terbakar di Teluk Intan dipercayai akibat khianat


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





TELUK INTAN, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak 12 kenderaan terbakar dengan lapan daripadanya hangus dalam satu kejadian dipercayai angkara khianat, di sebuah bengkel di Batu 2, Jalan Maharajalela, di sini, awal pagi ini. 

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pemilik bengkel seorang lelaki berumur 48 tahun mengalami kerugian mencecah RM150,000.

Katanya lokasi kebakaran merupakan ruang legar tempat letak kenderaan untuk dibaiki bagi tuntutan insurans dan premis itu telah beroperasi sejak Mac 2018.

"Kunci dipegang oleh majikan dan kerani sahaja. Ketika kejadian pagar dalam keadaan berkunci serta baik.

"Premis hanya mempunyai satu jalan masuk sahaja, dan terdapat kesan pagar dipotong di sebelah kanan premis dipercayai laluan masuk suspek ke kawasan kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, saksi yang merupakan penjaga premis memaklumkan hanya menyedari kebakaran sekitar pukul 5 pagi, selepas terdengar bunyi penggera kereta sebelum mendapati api telah marak. 

Katanya hasil siasatan awal, polis percaya insiden itu adalah perbuatan khianat dengan simbahan bahan bakar, berdasarkan penemuan satu bekas plastik berbau bahan bakar dalam salah sebuah kenderaan terlibat.

Bagaimanapun, motif sebenar insiden masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel