Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ABIM rayu tindakan segera pindah Orang Asli ke tempat lebih selamat


Tarikh kemaskini: 11/06/2019




KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia Centre (IOA) Kok Lanas di sini merayu tindakan segera termasuk memindahkan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh ke tempat selamat bagi mengelak penularan penyakit radang paru-paru atau pneumonia.

Anggota Lembaga Bahagian Pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) Ghazali Ibrahim berkata langkah itu penting kerana sehingga kini punca kematian suku kaum Orang Asli di perkampungan tersebut masih belum dikenal pasti.

"Setakat kami berulang-alik sebelum ini, kami tidak pernah terdengar masalah kesihatan disebabkan oleh air, mesti ada punca, tetapi rasanya mereka semua perlu dipindahkan dari kawasan itu.

"Kampung Kuala Koh adalah salah sebuah kampung Orang Asli yang berada di dalam kalendar lawatan atau seliaan IOA," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Ghazali berkata IOA sudah beberapa kali pergi ke Kampung Kuala Koh dan pernah membekalkan anak pokok pisang kepada suku berkenaan untuk ditanam.

Beliau berkata IOA merancang untuk meninjau keadaan masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut namun tidak dapat berbuat demikian selepas dinasihatkan Jabatan kesihatan Kelantan supaya tidak memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan.

Katanya suku Batek merupakan masyarakat Orang Asli yang agak ketinggalan daripada segi pembangunan dan kehidupan mereka agak primitif berbanding suku Temiar yang turut menghuni kawasan pedalaman Gua Musang.

"Biasanya IOA bawa kumpulan pelajar pusat pengajian iaitu PULDOA untuk mengadakan program di Kuala Koh dengan setiap keluarga akan diberi satu hamper yang terdiri daripada beberapa bahan keperluan harian, yang kita panggil 'Cak Rakyat' iaitu jamuan makan bagi seluruh penduduk kampung.

"IOA juga pernah menjalankan program dengan sekumpulan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan selain pihaknya turut mengadakan kelas Fardu Ain seperti mengajar bacaan surah Al-Fatihah kepada Orang Asli yang memeluk Islam," katanya.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

-- BERNAMA     


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel