Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki maut dirempuh tren komuter


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KEPALA BATAS, 11 Jun (Bernama) --Seorang lelaki maut selepas dirempuh tren komuter di landasan Kilometer 23.75 berdekatan Permatang Setar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata identiti lelaki berkenaan belum dapat dikenal pasti tetapi kaki kirinya putus selepas dipercayai digilis tren berkenaan yang dalam perjalanan dari Tasek Gelugor dekat sini ke Sungai Petani, Kedah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dirempuh sebelum diseret sejauh 230 meter berdasarkan penemuan darah, cebisan daging dan pakaian mangsa.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kawasan itu berpagar jaring besi dan tidak boleh dimasuki orang atau haiwan namun terdapat lubang pada pagar yang dipercayai digunakan oleh penduduk di situ untuk melintasi landasan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya mangsa berusia lingkungan 40-an dipercayai memasuki kawasan berkenaan untuk ke seberang landasan sebelum dirempuh tren itu dalam kejadian kira-kira pukul 9.06 pagi.

Noorzainy berkata polis turut menemui sebuah motosikal jenis Suzuki RC100  dengan  nombor pendaftaran PCB 7961 tersandar di tepi pagar dipercayai digunakan mangsa sebelum memasuki kawasan itu namun pemeriksaan mendapati motosikal itu milik orang lain.

"Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan agar tampil di HKB untuk membuat pengecaman.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel