Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya dua jam untuk sampai ke puncak Gunung Ledang, latihan bagi anggota bomba hadapi kes pendaki hilang


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





Oleh Muhamad Aidil Zahir Hussein

MUAR, 11 Jun (Bernama) -- Anggota bomba dilatih untuk mengambil masa hanya dua jam untuk sampai ke puncak Gunung Ledang di sini berbanding pendaki biasa yang lazimnya mengambil masa tiga hingga empat jam.

Ia adalah sebahagian daripada latihan untuk memantapkan diri anggota bomba bagi menangani kes pendaki hilang. 

Wartawan Bernama baru-baru ini berkesempatan untuk mengikuti dan merasai sendiri latihan ikhtiar hidup mendaki gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu bersama-sama 15 pelajar dari Korsiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor.

Ekspedisi turut disertai Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Hajar Sanusi, 30 rekrut baharu dan 15 anggota JBPM negeri sebagai jurupandu.

Menurut Siti Hajar, setiap tahun pihaknya akan mengadakan tiga kali kursus operasi menyelamat mangsa di hutan atau “malim gunung” bagi membiasakan anggotanya dengan keadaan kejadian sebenar.

Katanya statistik yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Johor menunjukkan jumlah mangsa yang hilang di hutan semakin meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini dan situasi itu agak membimbangkan.

"Seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah dilaporkan hilang di hutan sejak tahun 2016 hingga 2018,” katanya kepada Bernama, ketika latihan ikhtiar hidup di Gunung Ledang baru-baru ini.

Dalam tempoh tiga tahun itu (2016-2018), antara kawasan gunung di Johor yang mencatat kes paling banyak adalah Gunung Lambak, Kluang (10 kes); Hutan Lipur Gunung Pulai, Kulai (lapan kes) dan Gunung Panti, Kota Tinggi (lapan kes).

“Kita dapati antara faktor utama pendaki hilang di hutan disebabkan pendaki tidak menggunakan khidmat malim gunung untuk sampai ke puncak dan mereka lebih memilih untuk membuka jalan sendiri dengan alasan ia dilihat mencabar kekuatan mental dan fizikal masing-masing,” katanya.

Siti Hajar berkata jabatannya juga tertakluk kepada prosedur tersendiri dalam operasi menyelamat kerana selain JBPM, Jabatan Hutan, Renjer Taman Negara, pihak polis dan tentera juga turut terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa yang hilang di hutan.

“Kebiasaannya, JBPM akan menjadi 'first responder' (yang pertama bertindak) dan diberi masa hanya seminggu untuk mencari mangsa yang hilang di hutan. Dalam masa seminggu itu, pihak kami perlu memahami peta kawasan kejadian, meneliti kawasan berbahaya dalam hutan tersebut dan melakukan operasi pencarian,” katanya.

Tambahnya, proses untuk menyelamatkan mangsa perlu dilakukan dengan teliti, lebih-lebih lagi di kawasan yang jarang dilawati pengunjung bagi mengelakkan perkara buruk menimpa pasukan penyelamat.

Dalam pada itu, Siti Hajar sempat memberikan tips kepada wartawan Bernama sekiranya hilang di hutan supaya mencari anak sungai yang berhampiran dan menyelusuri sungai berkenaan mengikut arus untuk mencari jalan keluar dari kawasan hutan.

“Sungai secara semula jadinya akan mengalir ke kawasan yang lebih rendah, jadi bila kita ikut aliran sungai tersebut secara tidak langsung kita akan dibawa ke kawasan penempatan manusia,” katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel