Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perbicaraan kes saman RM100 juta keluarga Altantuya ditangguh ke 24 Jun depan


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes saman sivil RM100 juta difailkan keluarga model Mongolia yang mati dibunuh pada 2006, Altantuya Shaariibuu ditangguhkan ke 24 Jun depan.

Penangguhan itu dibuat di dalam kamar Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama peguam yang mewakili keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo.

Sangeet ketika ditemui pemberita berkata penangguhan itu bagi mendapatkan beberapa barang bukti  yang dikemukakan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya sebelum ini.

“Kami memohon untuk menangguhkan kes ini kerana kami mahu membuat permohonan  untuk mendapatkan semula barang bukti (berkaitan kes pembunuhan Altantuya).

“Kemungkinan barang bukti berkaitan kes (bunuh) ini ada disimpan di mahkamah  kerana selepas perbicaraan kes itu tamat pada penghujung 2009, hakim terdahulu telah meminta mahkamah untuk menyimpannya ( bahan bukti)," katanya di sini, hari ini.

Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda serta kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.

Sebelum ini, perbicaraan kes saman itu telah ditangguhkan pada hari ini susulan Sangeet memaklumkan pihaknya akan memfailkan afidavit tambahan kepada mahkamah.

Afidavit tambahan itu adalah untuk mendedahkan laporan media berkaitan kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini bahawa kertas siasatan membabitkan kes pembunuhan Altantuya sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel