Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KL Monorail: tiga tren empat gerabak beroperasi Ogos ini - Loke


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Tiga set tren empat gerabak KL Monorail akan beroperasi pada Ogos ini dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan kapasiti penumpang monorel yang dihadapi pengguna ketika ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata terdapat enam set tren dua gerabak sahaja yang sedang beroperasi setakat ini dan hanya mampu menampung seramai 214 penumpang bagi setiap perkhidmatan.

"Sekarang ada enam set dua gerabak sahaja memang tak cukup, ada banyak aduan kita dengar (terima) tren sering sesak pada waktu puncak, keadaan tak selesa dan tak begitu baik kepada pengguna.

"Jadi dua set sedang dibaiki tapi kita perlukan minimum tiga set. Kalau dua set kita tidak ada tren tambahan, pengguna akan buat aduan, sebab itu kita janji bahawa isu monorel akan ditangani dan harap dapat beroperasi semula 16 Ogos nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di depot monorel, di sini hari ini.

Loke berkata tambahan dua set tren lagi dijangka beroperasi pada November ini bagi memastikan kapasiti untuk monorel dapat dipertingkatkan dan mengembalikan jumlah penumpang monorel daripada sekadar 31,000 orang kepada 70,000 orang setiap hari.

Pada April lepas, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP) memeterai perjanjian peroleh dan baik pulih tren monorel di bawah perkhidmatan KL Monorail.

Menerusi perjanjian itu, STP akan membaik pulih lima set tren empat gerabak yang dihentikan perkhidmatan sejak Januari 2018 bagi tujuan pembaikan selain membekalkan tujuh lagi set tren yang baharu dalam tempoh 20 bulan.

Sejak 2015, operasi monorel menggunakan lima set tren empat gerabak dan enam set tren dua gerabak. Namun selepas perkhidmatan lima set empat gerabak dihentikan, ia kini beroperasi dengan enam tren dua gerabak sahaja.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel