Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua rakan kongsi didakwa terima deposit tanpa lesen


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





ALOR SETAR, 11 Jun (Bernama) -- Dua rakan kongsi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menerima sejumlah wang deposit daripada orang awam tanpa lesen sah pada 2015 dan 2016.

Tertuduh Ooi Kooi Lam, 61, dan Loh Kim Yong, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka dituduh menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di Alliance Bank No 1960E & F, Jalan Stadium di sini antara Julai dan Disember 2015.

Pertuduhan kedua pula, Ooi dan Loh didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan sama di lokasi sama antara Januari dan Disember 2016.

Sehubungan itu, mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 137(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama serta dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding mahkamah untuk pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu Mohd Alif Farhan Hassan berkata anggaran jumlah wang terlibat bagi kedua-dua pertuduhan itu lebih kurang RM90,000 selepas Sharifah Norazlita bertanyakan anggaran jumlah wang itu untuk mengambil kira jumlah jaminan yang akan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Setelah itu, mahkamah membenarkan Ooi dan Loh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Eng Yuh Pei.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel