uQjK5HbsolI Contohi Melaka bina Rumah Peduli untuk rakyat - PM
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Contohi Melaka bina Rumah Peduli untuk rakyat - PM


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





JASIN, 10 Jun (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad mahu negeri lain mencontohi langkah tepat kerajaan negeri Melaka dalam membina Rumah Peduli pada harga yang rendah untuk rakyat termiskin dan golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata beliau kagum dengan usaha dilaksanakan kerajaan negeri ini yang membantu  kumpulan rakyat itu yang mempunyai tanah untuk memiliki rumah mereka sendiri. 

Beliau berkata sistem dibangunkan menerusi projek rumah tersebut adalah sesuatu amat baik dengan tawaran harga hampir RM40,000 selain mendapati rumah yang dibangunkan itu jauh lebih murah daripada projek lain.

"Saya harap sistem ini juga akan diguna pakai di negeri-negeri lain dengan adanya rumah sebegini murah maka dapatlah rakyat termiskin mempunyai rumah sendiri untuk mereka hidup lebih selesa,” katanya ketika berucap melancarkan Rumah Peduli Negeri Melaka, di Lipat Kajang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Ketua Menteri, Adly Zahari dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata pendekatan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu bertepatan dengan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu untuk menyediakan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, biarpun PH baru berusia setahun jagung memerintah, namun hasilnya sudah banyak tercapai daripada janji-janji yang dibuat lebih 60 peratus telah ditunaikan oleh kerajaan negeri Melaka.

Sementara itu, salah seorang penerima rumah itu Hainizah Mohamed, 35, berkata, kehadiran Syawal tahun ini lebih bermakna apabila beliau dan anak perempuannya dapat menyambut lebaran di rumah sendiri yang siap dibina bulan lalu.

Katanya, beliau yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu, sebelum ini, menumpang di rumah ibunya di Taman Merlimau Utara.

"Ibarat impian jadi kenyataan, ini juga rezeki anak saya sebab sebelum ini arwah suami pernah bercita-cita untuk mempunyai rumah sendiri namun tidak kesampaian tetapi pada Hari Raya kali ini kami dapat beraya di rumah ini," katanya.

Seorang lagi penerima, Sabariah Mat Shah, 63, berkata, penantiannya untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila terpilih untuk menerima skim Rumah Peduli Rakyat.

"Sekarang ini saya hanya duduk di rumah sewa di Kampung Pulau Sebang yang dibayar oleh anak sulung saya sebanyak RM310 sebulan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel