Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis akan mengesan 12 kubur Orang Asli yang didakwa telah meninggal dunia


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





GUA MUSANG, 10 Jun (Bernama) -- Polis akan mengesan kubur 12 Orang Asli suku kaum Batek yang didakwa telah meninggal dunia dan ditanam cara adat, di Kampung Kuala Koh dalam tempoh sebulan lalu akibat jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, gerakan mengesan kubur berkenaan akan bermula esok, membabitkan 30 anggota dari Pasukan Gerak Am (PGA) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.

Beliau berkata, beberapa penghulu Orang Asli juga akan ikut bersama dalam operasi terbabit, kerana mereka lebih tahu kawasan hutan berhampiran kampung itu, yang dikatakan menjadi tempat pengkebumian 12 orang yang meninggal dunia itu. 

Katanya, apabila menemui kubur tersebut, pihaknya akan menggali semula untuk diambil mayat dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

"Selagi tidak ditemui, maka selama itulah kita tidak dapat mengetahui punca kematian mereka," katanya kepada pemberita di IPD Gua Musang, di sini, hari ini. 

Sebelum itu, beliau meninjau dari udara Kampung Kuala Koh dan melihat saluran sungai didakwa tercemar dengan aktiviti perlombongan, yang dipercayai menjadi punca jangkitan kuman menyebabkan kematian.

Acryl Sani berkata, sehingga kini polis belum dapat mengesahkan kematian 12 penduduk Orang Asli berkenaan.

"Apa yang kita sedia maklum setakat ini, hanya dua sahaja Orang Asli yang meninggal dunia dilaporkan kepada polis, selepas bedah siasat dijalankan dan 12 orang lagi yang meninggal dunia, hanya dimaklumkan oleh pihak tertentu sahaja," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti dakwaan pengaliran air sungai yang menjadi keperluan kaum itu didakwa tercemar, sebagai penyebab jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

"Jika benar dakwaan itu, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     

Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri

 
     

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan - KDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel