Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli suku Batek pakar hutan


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





KOTA BHARU, 10 Jun (Bernama) -- Orang Asli Batek adalah Orang Asli kategori Negrito (suku paling tua di Tanah Melayu) yang kebanyakannya menetap di Kelantan selain di Terengganu dan sedikit di Pahang kira-kira 100,000 tahun lalu, terkenal sebagai suku paling pakar dengan hutan.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata suku Batek, menetap rapat dengan persekitaran hutan, memudahkan mereka melaksanakan aktiviti memburu dan mengumpulkan hasil hutan, sesuai dengan rutin hidup mereka sebagai masyarakat pemburu-peramu di Semenanjung Malaysia.

Katanya Orang Asli Batek biasanya akan memasuki hutan bersama beberapa keluarga yang lain, dan menetap di khemah sementara dipanggil 'haya', dibina sepanjang sungai Kuala Koh.

"Penempatan tersebut hanya sementara, dan tidak tetap tempohnya. Sama ada sebulan, seminggu atau lebih singkat dari itu, sebelum berpindah ke penempatan baharu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, antara pertimbangan berpindah ialah kemudahcapaian sumber hutan, termasuklah kuantiti atau jaraknya dengan penempatan sementara dan kebiasaannya Batek, tidak akan masuk dan membina penempatan sementara pada musim tengkujuh, iaitu antara bulan Oktober hingga Disember, kadang-kadang hingga bulan Januari.

Wan Ahmad Amir Zal berkata bagi meneruskan kelangsungan hidup golongan lelaki Batek masuk ke dalam hutan yang lebih dalam untuk mencari sumber hutan yang mempunyai nilai ekonomi, seperti mencari buluh, rotan, damar, kayu gaharu, madu, katak dan sumber hutan lain.

Manakala golongan wanita pula tinggal bersama anak-anak di 'haya' dan turut aktif mencari sumber hutan tertentu, termasuklah makanan dan herba.

Katanya wanita suku Batek lebih arif dan mempunyai pengetahuan yang lebih luas, berkenaan jenis-jenis herba di dalam hutan berbanding golongan lelaki dan sering kali golongan lelaki Batek merujuk golongan wanita Batek untuk bertanyakan tentang nama dan cara penggunaan herba-herba hutan.

“Oleh sebab itu suku Batek dikenali lebih dekat dan pakar berkaitan herba hutan, berbanding dua lagi suku Orang Asli di Kelantan (Temiar dan Menderiq).

Bagaimanapun Wan Ahmad Amir Zal berkata, kini Batek mula hidup menetap di kawasan penempatan yang didirikan kerajaan, melalui beberapa program pembangunan termasuklah pemberian rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Orang Asli Batek kini lebih sesuai dikategorikan sebagai komuniti separa nomad (seminomadic). Mereka menetap di kawasan tertentu, termasuklah membina dan mempunyai rumah sendiri. Namun dalam masa yang sama mereka masuk ke hutan atau gigi sungai dalam tempoh yang panjang, serta membina penempatan sementara," katanya. 

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

Terkini seramai 50 penduduk kaum itu dilaporkan masih menerima rawatan di tiga hospital di negeri ini termasuk 37 orang di Hospital Gua Musang (HGM), 12 orang di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel