Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Padi wangi MRQ76 setaraf beras wangi import


Tarikh kemaskini: 09/06/2019





Oleh Zabidi Ishar

KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Padi wangi varieti MRQ76 yang berjaya dalam tanaman ujiannya di Selising, Pasir Puteh membuktikan bahawa padi berkenaan adalah setaraf dengan beras wangi yang diimport dari Thailand dan Vietnam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa sehubungan itu mahu lebih ramai pesawah dalam seliaan KADA menyahut seruan kerajaan untuk menanam padi wangi tempatan itu.

"Saya gembira apabila padi ini berjaya dalam ujian tanamannya yang sesuai untuk tanaman di negara kita. Padi ini setaraf kualitinya dengan beras wangi import yang kita makan dan ia sangat sesuai untuk kesihatan terutama pesakit diabetes," katanya baru-baru ini.

Husam berkata, untuk itu beliau akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk melihat berapa peratus jelapang KADA yang boleh ditanam padi wangi itu.

"Menteri sendiri gembira apabila melihat keberhasilan padi ini dan telah menyatakan sokongan bagi KADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah untuk menjadi projek perintis untuk penanaman padi ini," katanya.

Selain itu, pesawah akan menikmati subsidi kerajaan jika menanam padi wangi itu yang sebelum ini tidak pernah dinikmati oleh pesawah jika mahu menanam padi wangi.

"Ini kali pertama subsidi diberikan kepada penanam padi wangi dan sebab itu petani tidak ada alasan untuk tidak menanamnya," kata Husam.

Dengan harganya yang tinggi iaitu RM40 bagi setiap paket lima kilogram, ia mampu mengubah hidup para pesawah. Bagaimanapun, katanya, tidak semua jelapang KADA boleh ditanam padi wangi kerana ia tertakluk kepada kebenaran kementerian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang berkata kejayaan tanaman padi ini setelah dua kali penanamannya gagal berikutan beberapa faktor terutama kemarau baru-baru ini.

"Alhamdulillah selepas kali ketiga ia berjaya dan kini padi wangi ini telah mengeluarkan hasil dan ini setelah petani mendapat kerjasama MARDI dan KADA," katanya.

Beliau berharap lebih ramai petani merebut peluang untuk menanam padi ini dan mengharapkan kementerian melalui KADA akan dapat menyediakan benih padi ini dengan secukupnya.

Zailan berkata, persatuan itu akan mengadakan pertemuan dengan pesawah lain dan akan menerangkan dengan lebih panjang mengenai kebaikan menanam padi wangi ini.

Sehubungan itu, katanya, beras wangi jenama Che Siti Wan Kembang itu akan berada di pasaran jika ia berjaya mengatasi beberapa masalah berbangkit termasuk membabitkan jumlah pengeluaran dan pasaran.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel