Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belum ada laporan polis papan iklan gambar Perdana Menteri disimbah cat merah


Tarikh kemaskini: 07/06/2019





JEMPOL, 7 Jun (Bernama) -- Polis Jempol masih belum menerima sebarang laporan mengenai sebuah papan iklan yang memaparkan gambar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disimbah cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama berkata, beliau mengesahkan kejadian tersebut berlaku di sebuah selekoh di Felda Palong Tujuh dan Lapan dekat sini.

“Saya ada menerima maklumat berkenaan daripada anggota mengenai isu berkenaan namun masih belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media (Harian Metro) melaporkan berkenaan insiden ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota PKR.

Ketua Cabang PKR Jempol Karip Mohd Salleh berkata papan iklan yang turut menyalurkan maklumat mengenai pembaharuan hala tuju Felda itu disedari pihaknya ketika melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Karip yang juga Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan dipetik sebagai berkata satu laporan polis akan dibuat berhubung isu berkenaan. 

Sementara itu Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham yang mengecam perbuatan itu berkata ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, yang takut dengan mesej dan inisiatif yang dibawa kerajaan yang semakin diterima.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata pihak itu merasa takut kerana mesej serta inisiatif itu kini mulai mendapat dukungan yang semakin utuh daripada para peneroka FELDA.

“Ingin saya tegaskan bahawa objektif billboard yang dinaikkan adalah untuk memberi informasi-informasi baru berhubung usaha proaktif dan gagasan Kerajaan untuk membela nasib peneroka FELDA,” katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel