Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor hari ini berlangsung meriah


Tarikh kemaskini: 06/06/2019





JOHOR BAHRU, 6 Jun (Bernama) -- Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Pasir Pelangi hari ini berlangsung dengan meriah dalam semangat penuh perpaduan.

Biarpun hujan lebat, ia tidak menghalang sejumlah masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum berkumpul seawal 8.00 pagi di luar perkarangan istana untuk berjumpa keluarga diraja negeri ini, walaupun majlis sebenar hanya berlangsung antara pukul 10 pagi hingga 2.00 petang.

Ada pengunjung dilihat sanggup menggunakan tuala dan kadbod selain payung demi melindungi mereka dari hujan lebat. 

Pada majlis itu pula, mereka dihidangkan dengan pelbagai hidangan enak antaranya sate, ketupat, lemang dan rendang. 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang hadir majlis itu bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah mengambil peluang kedatangan orang ramai itu untuk bersalaman dengan mereka selain melayani permintaan untuk berswafoto. 

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suaminya, Datuk Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman  dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Seeorang daripada pengunjung yang sempat ditemui pemberita, Pang Se Wan, 73, berkata dia teruja untuk bertandang ke rumah terbuka itu memandangkan sudah dua tahun keluarga Diraja Johor tidak menganjurkannya.

“Saya dan isteri bergerak dari rumah di Skudai agak awal dan kemudian terus menunggu di luar pintu pagar istana supaya tidak terlambat ke majlis itu,” katanya.

A. Vanita, 40, pula berkata dia kebiasaan meluangkan cuti Hari Raya Aidilfitri untuk berehat di rumah tetapi tahun ini, ingin mencari kelainan. 

“Jadi, saya memilih untuk ke sini. Terdapat banyak makanan yang enak terutama ketupat dan kuahnya.

“Saya fikir ini adalah acara yang bermakna kerana semua masyarakat dapat bertemu, berinteraksi sesama sendiri, sekaligus mengeratkan silaturahim,” katanya.

-- BERNAMA   

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel