Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak dikhuatiri lemas di pusat rekreasi Lagoon Kuala Ibai


Tarikh kemaskini: 06/06/2019





KUALA TERENGGANU, 6 Jun (Bernama) -- Usaha mencari seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di taman rekreasi Lagoon Kuala Ibai, berdekatan Masjid Terapung di sini hari ini masih diteruskan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdullah Zawawi Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, Muhammad Aidil Muhammad Ghazali, 9, yang berada di tepi pasir terjerumus ke dalam air.

“Maklumat awal daripada orang awam mendapati mangsa terkapai-kapai dalam air sebelum tenggelam.

“Abang mangsa (Muhammad Aiman Muhammad Ghazali) yang berusia 14 tahun cuba menyelamatkan adiknya tetapi gagal,” katanya yang juga komander operasi mencari dan menyelamat kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Sejurus menerima panggilan pada pukul 10.23 pagi, dua jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba Kuala Terengganu tiba di lokasi kejadian, selain turut dibantu dua anggota dari balai Jalan Kota bersama sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Pihak bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot dengan tiga anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman di kawasan mangsa dikatakan terjatuh.

 Mangsa datang ke situ bersama keluarga yang pulang dari Johor Bahru, Johor ke kampung ibunya, di Kampung Tanjung di sini sempena hari raya.

Sementara itu ibu mangsa, Noraini Yahya berkata anak keempatnya daripada enam beradik itu begitu teruja untuk datang ke tempat rekreasi itu sejak semalam.

Ketika bangun pagi tadi anaknya itu sudah bersiap dan menunggu ayahnya Mohd Razali Ibrahim, 38, bangun daripada tidur.

“Semalam lagi dia cakap hendak main di sini, lain macam seronok dia. Dia cakap hendak mandi pantai,” katanya sambil menitiskan air mata.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel