Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bangunan sejarah Kelantan terbiar perlu diselenggara, dipulihara


Tarikh kemaskini: 05/06/2019





Oleh Bashariah Zainuddin

KOTA BHARU, 5 Jun (Bernama) -- Bangunan bersejarah dalam zon kebudayaan bandar raya Kota Bharu seperti Muzium Diraja Istana Batu, Muzium Perang atau Bank Kerapu, Muzium Kraf dan Perkampungan Kraftangan sarat dengan sejarah negeri yang menjadi asas pembentukan masyarakat negeri Kelantan.

Nama-nama gah bangunan itu mampu menarik minat orang ramai untuk menelusuri dan berkenalan dengan susur galur yang menjadi sebahagian daripada sejarah di negeri Che Siti Wan Kembang ini terutama kehidupan seharian raja-raja yang menjadi teras agama dan pemerintahan negeri.

Namun, ia agak mengecewakan bukan saja pelancong luar malah penduduk tempatan sendiri apabila bangunan bersejarah itu bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana keadaannya yang daif, tidak diselenggara dengan baik, kotor dan tidak ceria membuatkan orang ramai tidak tertarik untuk masuk ke dalam bangunan tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati cat pada bangunan juga lusuh menjadikan premis itu dilihat seperti tidak terjaga, ada bumbung yang tercabut menyebabkan bocor bila hujan, ukiran kayu yang pecah melihatkan bangunan itu begitu uzur.

Seorang pengunjung, Izzati Rahman, 23, berkata keceriaan bangunan dan persekitaran amat diperlukan selain artifak perlu dipelihara bersama kerana sejarah bukan perkara yang boleh dilakar atau diada-adakan.

“Kami golongan Gen-Y hanya tahu apa yang berlaku dahulu melalui silibus di sekolah dan muzium adalah pelengkap kepada apa yang kami pelajari, di mana lagi kami hendak menyaksikan sejarah lama jika tidak ke muzium?” katanya.

Nur Atiqah Zulkifli, 21, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi pula mencadangkan supaya diadakan tayangan video bagi semua artifak sebelum pengunjung menyusuri ruang pameran muzium untuk mengenali lebih dekat artifak yang tersimpan di dalam premis itu.

“Jika sudah ada tayangan sedemikian, cukup dengan melabelkan artifak, pengunjung akan lebih mengenali apa yang dilihat,” katanya sambil menegaskan pihak pengurusan bangunan sepatutnya berusaha untuk menceriakan bangunan supaya ia boleh menarik orang muda ke muzium.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan Arifin Hussin berkata tiga muzium berkenaan walaupun terletak di bawah seliaan Perbadanan Muzium negeri, ia adalah hak persendirian dan pihak muzium perlu mendapat kebenaran pemilik terlebih dahulu sebelum membuat penyelenggaraan termasuk menaik taraf bangunan.

Beliau berkata pihak muzium juga menghadapi kekangan kewangan dan peruntukan menyebabkan kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Tahun ini kita diperuntukkan RM2 juta oleh kerajaan negeri untuk penyelenggaraan bangunan, tetapi sehingga kini baru RM500,000 yang diterima, pihak muzium negeri perlu mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.

Arifin berkata bagaimanapun, pihak muzium akan meningkatkan keceriaan bahagian luar bangunan dengan landskap lebih menarik terutama Muzium Diraja Istana Batu yang terletak di kawasan lembah dan membaik pulih bangunan Muzium Perang atau Bank Kerapu yang terletak di sebelah hilir Padang Merdeka dan beberapa komponen dalaman premis itu rosak semasa banjir besar beberapa tahun lepas.

Pengurus Yayasan Kraftangan Hashim Ibrahim berkata Perkampungan Kraf yang menempatkan Muzium Kraf dan pejabat Tourism Malaysia Kelantan adalah bangunan persendirian dan perlu mendapat keizinan pemilik untuk diselenggara.

“Seperti bangunan istana lama, kami juga tidak boleh membuat perubahan sesuka hati kerana ia adalah bangunan persendirian...perkampungan ini tidak dapat diselenggara dengan baik ekoran kekangan kewangan yang agak serius.

“Kami perlu mencari dana sendiri untuk membaik pulih kerosakan di samping menceriakan bangunan selain memohon peruntukan daripada pihak yayasan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel