Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rempah tradisional Pasar Payang jadi pilihan sempena Aidilfitri


Tarikh kemaskini: 04/06/2019





KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) -- Setiap masakan yang enak pasti menggunakan pelbagai jenis rempah-ratus mengikut resipi yang tersendiri terutama menu tradisional yang biasa dihidangkan pada  Aidilfitri. 

Bagi penduduk Terengganu, mereka lazimnya akan membeli rempah-ratus ini di Pasar Besar Kedai Payang yang menawarkan puluhan jenis rempah masakan mengikut kehendak pelanggan.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kedai rempah di pasar itu terus dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis rempah masakan pada saat-saat akhir menjelang Aidilfitri yang disambut esok.

Peniaga rempah, Tun Hasan Tun Mahmud, 57, berkata rempah terlaris di kedainya sepanjang Ramadan ini ialah rempah gulai nasi dagang dan rempah gulai untuk daging serta ayam.

"Saya mewarisi perniagaan keluarga sejak 35 tahun lalu...walaupun banyak syarikat telah mengkomersilkan penghasilan rempah dan semakin mudah didapati di pasar raya besar, namun rempah yang dijual secara tradisonal di pasar ini tetap menjadi pilihan ramai.

"Ini kerana kami menjual rempah masakan mengikut kuantiti bahan mentah yang ingin dimasak pelanggan. Contohnya ada yang mahukan rempah untuk daging sebanyak tiga kilo sahaja atau untuk ayam sebanyak 200 ekor...mereka akan memberitahu berapa kuantiti bahan mentah dan saya akan sediakan rempahnya mengikut sukatan yang tepat untuk kuantiti tersebut," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Setakat ini, terdapat 20 jenis rempah masakan dijual di kedainya selain barangan runcit yang lain seperti beras, bawang dan stok makanan kering.

Kebanyakan peniaga di pasar itu akan melanjutkan tempoh operasi mereka sehingga petang di hari terakhir Ramadan hari ini kerana masih ramai pelanggan yang akan datang mencari barangan keperluan untuk memasak menu Aidilfitri.

Seorang lagi peniaga, Baharuddin Yusof, 60, berkata jualan rempahnya sepanjang Ramadan meningkat sehingga dua kali ganda berbanding bulan biasa kerana orang ramai lebih kerap memasak juadah tradisi yang memerlukan penggunaan rempah-ratus yang banyak.

"Kesemua rempah ini memang kita racik sendiri, cuma dihantar ke kilang sahaja untuk mengisarnya dengan lebih halus.

"Kelebihan beli rempah tradisional di Pasar Payang ini ialah kita adun sendiri rempah masakan yang diminta pelanggan dengan sukatan tepat bagi memastikan hasil masakan itu lebih enak dan tiada pembaziran.

"Untuk menghasilkan gulai nasi dagang sahaja, saya adunkan berbelas rempah...itu lah rahsia rempah gulai yang lazat berbanding rempah yang telah dikomersilkan," katanya yang dibantu isteri, Maimon Awang, 52, sepanjang berniaga di gerai itu sejak 30 tahun lepas.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Shahidah Razali, 42, berkata beliau lebih gemar membeli rempah tradisional untuk memasak pelbagai juadah kerana gabungan pelbagai rempah tersebut akan memberi rasa dan aroma bau yang lebih menyelerakan.

"Lagipun lebih mudah beli di sini kerana peniaga mahir mengadun rempah...sebut sahaja nak masak apa dan berapa kuantiti bahan mentah...mereka akan sediakan sukatan yang tepat.

"Bagi mereka yang tidak mahir menganggar sukatan rempah memang saya cadangkan beli di sini kerana kita boleh beritahu berapa bilangan tetamu, jadi peniaga akan sediakan sukatan rempah yang tepat.

"Contohnya cakap sahaja nak masak seekor lembu seberat 250 kilogram atau nak masak nasi dagang untuk 300 tetamu, peniaga rempah di sini dengan begitu mudah akan sediakan...tak timbul soal membazir untuk baki rempah yang tidak digunakan atau tak cukup rempah ketika memasak," katanya yang turut membeli stok rempah-ratus untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur nanti.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel