Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua samseng jalanan ugut guna parang diburu polis


Tarikh kemaskini: 04/06/2019




JOHOR BAHRU, 4 Jun (Bernama) -- Dua samseng jalanan yang mengugut seorang pengguna jalan raya menggunakan senjata parang dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang dekat sini, semalam, kini menjadi buruan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Mohd yang mengesahkan perkara demikian berkata siasatan sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) untuk mengesan kedua-dua suspek. 

“Usaha mengesan sedang dilakukan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan dapat dia (suspek) kerana apabila kita melakukan sesuatu melampaui apa yang dikehendaki, (maka) kita perlu bertindak mengikut undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan ke Larkin Sentral di sini, hari ini sempena sambutan Aidilfitri esok.

Semalam, tular satu video berdurasi lebih seminit yang menunjukkan dua lelaki keluar dari kereta dinaikinya dan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya selain seorang daripadanya turut menghentak cermin hadapan kenderaan pengguna tersebut menggunakan sebilah parang. 

Kejadian dipercayai berlaku kerana ketidakpuasan hati selepas suspek tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak.

Mengulas isu lain, Mohd Khalil berkata pihaknya menyambut baik amaran dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar tiada anggota polis terlibat dengan pengumpulan dana untuk membiayai majlis sambutan perayaan.

“Sebelum arahan dikeluarkan, kita telah pun membuat keputusan membatalkan penganjuran majlis sebab tiada majlis berbuka puasa dianjurkan oleh negeri ini.

“Cuma nanti kemungkinan kita akan buat majlis hari raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang membabitkan komuniti polis kita sahaja melalui kelab kita (kelab polis),” katanya.

Semalam, Abdul Hamid menegaskan tindakan akan diambil terhadap pegawai polis yang melakukan pengumpulan dana untuk membiayai majlis sambutan perayaan.

Arahan itu ekoran masih terdapat pegawai yang mengarahkan anak buah mereka membuat kutipan sumbangan daripada individu dan syarikat swasta. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel