Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga bazar Aidilfitri lega tempoh perniagaan dilanjutkan


Tarikh kemaskini: 04/06/2019




KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan negeri untuk memberi kelonggaran kepada peniaga bazar Aidilfitri di Kuala Terengganu meneruskan perniagaan malam ini sehingga awal pagi esok memberi kelegaan yang tidak terhingga buat peniaga. 

Setiausaha Agung Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut) Erena Shafika Wahab berkata hal ini kerana kebiasaannya malam terakhir menjelang Aidilfitri adalah malam yang merekodkan jualan tertinggi untuk peniaga.

"Harapan kami agar peniaga dapat mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu memastikan sampah tidak berselerak...manfaatkanlah kelonggaran yang telah diberi ini sebaik mungkin dan pada masa sama aspek kebersihan dijaga demi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak," katanya kepada Bernama hari ini. 

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengeluarkan arahan supaya semua peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di bandar raya ini menamatkan operasi perniagaan pada 29 Ramadan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan menjelang Aidilfitri. 

Bagaimanapun, semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan kerajaan negeri bersetuju memberi kelonggaran itu dengan syarat peniaga akan membersihkan persekitaran premis mereka daripada sampah sarap. 

Seorang peniaga di Bazar Aidilfitri Dataran Syahbandar di sini, Mohd Shukri Abdullah, 30, meluahkan  rasa lega atas kelonggaran yang diberikan memandangkan telah banyak modal dikeluarkan untuk berniaga di situ tahun ini.

“Masa mula hendak berniaga awal Ramadan lepas syarat-syarat seumpama itu tidak diberitahu jadi saya pun beli stok dengan banyak untuk dijual sehingga awal pagi Aidilfitri. Apabila syarat tersebut telah ditarik balik dapatlah saya berniaga hingga 3 pagi nanti seperti yang telah dirancang,” katanya yang telah empat tahun berniaga seluar jeans lelaki di situ.

Keputusan itu turut menggembirakan seorang kakitangan swasta, Nur Azira Zulkifli, 29, kerana menyifatkan sudah menjadi trend untuk penduduk di sekitar bandar raya Kuala Terengganu mencari pelbagai barangan keperluan pada saat-saat akhir menjelang pagi Aidilfitri. 

"Pada saat-saat akhir ini, harga jualan akan jatuh merudum kerana peniaga akan melelong barang jualan mereka dengan harga yang tersangat murah. 

"Lagipun, tak semua orang berkesempatan membeli-belah barangan keperluan sebelum ini...jadi malam ini adalah waktu terbaik untuk mereka keluar mencari barangan sebagai persiapan terakhir menjelang Aidilfitri pagi esok," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel