Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Paras air dua empangan di Melaka meningkat semalam


Tarikh kemaskini: 04/06/2019





MELAKA, 4 Jun (Bernama) -- Paras air di dua empangan di negeri ini iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Asahan di Jasin meningkat semalam berbanding hari sebelumnya berikutan hujan di negeri ini sejak beberapa hari lepas.

Jabatan Ketua Menteri Melaka menerusi kenyataan hari ini memberitahu paras air di Empangan Durian Tunggal, yang mempunyai kapasiti 9.52 bilion liter air, meningkat kepada 30.8 peratus semalam berbanding 29.4 peratus pada hari sebelumnya.

Katanya paras air di Empangan Asahan, yang mempunyai kapasiti 155 juta liter air, meningkat kepada 62.5 peratus semalam berbanding 61.4 peratus pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Empangan Jus di Jasin, yang mempunyai kapasiti 27.45 bilion liter air, mencatatkan sedikit penurunan paras air kepada 63.5 peratus semalam berbanding 63.7 peratus pada hari sebelumnya.

Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menerusi kenyataan berkata paras air di empangan seluruh negeri Melaka dijangka terus meningkat dan usaha semua pihak telah menampakkan hasil memberangsangkan.

"Kita yakin dengan ini tiada catuan air ketika musim perayaan ini (Aidilfitri) dan akan datang, justeru rakyat Melaka tidak perlu gusar atau khuatir dengan situasi air ini. Keadaan cuaca yang mendung ini menunjukkan Insya-Allah hujan turun setiap hari bagi membantu peningkatan paras air," katanya.

Beliau berkata komitmen pihak terlibat terutamanya Syarikat Air Melaka Berhad dan Badan Kawal Selia Air Melaka adalah tinggi dalam memastikan gangguan bekalan air tidak menjejaskan kehidupan rakyat terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

"Terima kasih kepada rakyat negeri Melaka yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha untuk kita melakukan penjimatan kepada penggunaan air, juga sentiasa peka serta prihatin terhadap apa juga masalah khususnya kebocoran paip air, ini menunjukkan kerjasama erat rakyat dan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel