Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terminal Feri Kukup "lengang", ramai warga asing pulang ke kampung


Tarikh kemaskini: 03/06/2019





PONTIAN, 3 Jun (Bernama) -- Keadaan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini, kelihatan semakin lengang berikutan ramai warga Indonesia telah pulang ke kampung halaman sejak seminggu lepas untuk menyambut Aidilfitri.

Pegawai Pembantu Laut di terminal berkenaan Hazreen Mohd berkata kebanyakan penumpang warga Indonesia pulang ke kampung halaman mereka lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tinjauan Bernama di terminal feri berkenaan mendapati keadaan terkawal dengan warga Indonesia yang menggunakan kemudahan itu turut menunjukkan kerjasama yang baik dalam memudahkan proses pemeriksaan barangan yang dilakukan oleh pihak imigresen.

Ada juga penumpang warga Indonesia turut bermalam di terminal berkenaan kerana risau lewat sampai ke terminal berkenaan untuk menaiki feri yang biasanya berlabuh dan bersauh tepat seperti masa yang tertera dalam jadual perjalanan feri.

“Dari pihak Jabatan Laut, aspek keselamatan sangat penting bagi kita terutamanya semasa masuk ke dalam feri. Kami amat mengutamakan kanak-kanak dan warga emas di samping kami sentiasa mengingatkan penumpang untuk sentiasa memeriksa pasport mereka,” kata Hazreen kepada Bernama ketika tinjauan di terminal feri berkenaan.

Difahamkan empat buah feri digunakan bagi menampung permintaan penumpang yang mahu pulang menerusi Tanjung Balai di Pulau Karimun, Indonesia.

Salah seorang penumpang feri, Ayu Rusli Abdullah berkata perjalanan dari terminal Kukup ke terminal Tanjung Balai menggunakan feri hanya mengambil masa satu jam.

Wanita berusia 30 tahun itu berada seminggu di Johor kerana membantu kakaknya membuat kuih raya, turut memuji tentang kemudahan dan prasarana yang disediakan di terminal feri tersebut.

“Kelengkapan seperti tandas, bilik sewa dan surau di sini sentiasa berada dalam keadaan baik, ditambah pula dengan harga tiket yang murah, menjadikan saya selesa untuk berulang-alik dari Tanjung Balai ke Kukup,” katanya.

Sementara itu, seorang pembantu kedai makan di sekitar Johor Bahru, Johari Ojar, yang telah menggunakan jalan laut untuk pulang ke kampung halamannya selama tiga tahun menyatakan kemudahan yang disediakan di terminal tersebut amat selesa.

“Setiap tahun saya akan balik pada waktu-waktu puncak seperti ini, tapi Alhamdulillah tahun ini nampaknya tidak sesak seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel