Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Akram buka hotel kucing kerana "tiger"


Tarikh kemaskini: 03/06/2019





Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA, 3 Jun (Bernama) -- Menjelang setiap kali musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pemilik kucing menghadapi masalah untuk penjagaan haiwan kesayangan mereka apabila mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bilangan hotel kucing yang terhad di negeri ini  menyebabkan mereka yang memelihara kucing terpaksa membuat tempahan awal bagi memastikan kucing kesayangan mereka mendapat penjagaan sempurna ketika ereka pulang.

Memahami kesulitan itu, pemilik hotel kucing, ‘Hotel For Cat’, Akram Azly, 35 mengambil keputusan membuka hotel kucing di Krubong pada 2011 sebelum berpindah ke Taman Ayer Keroh  Height , Ayer Keroh pada 2014.

“Saya mula membela seekor kucing bernama ‘Tiger’ ketika menuntut di Universiti Multimedia (MMU), kampus Ayer Keroh  dan ketika itu saya terpaksa mengorbankan masa cuti semata-mata untuk menjaga Tiger tiap kali cuti semesta,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, Akram berkata beliau dan isterinya  Izawah Kamal, 34  menjaga kucing rakan-rakan yang balik bercuti secara sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran kerana meminati bintang manja itu.

Katanya pada ketika itu ada pemilik kucing yang berbaik hati menghadiahkan barangan keperluan kucing seperti makanan kucing dan pasir kucing sebagai hadiah kepadanya dan ada juga yang tidak memberikan apa-apa.

“Daripada saat itulah, saya dan isteri mendapat idea untuk menawarkan perkhidmatan menjaga kucing secara separuh masa dengan bayaran serendah RM2.00 bagi mencari duit poket,” katanya.

Anak jati Kota Baharu, Kelantan itu berkata beliau mula serius dalam perniagaan apabila mendaftar perniagaan itu pada 2011 selepas menamatkan pengajian di MMU.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) (Kecerdasan Buatan) MMU itu berkata bermula dari detik itulah, beliau memulakan perniagaan hotel kucing serta menawarkan jualan pelbagai jenis makanan, barangan keperluan penjagaan, aksesori di samping membersihkan dan merapikan.

Selain itu, beliau juga menjual kucing yang diimport dari negara luar seperti Ukraine dan Rusia sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.

Akram berkata sehingga kini Hotel For Cat mempunyai sebanyak 60 bilik untuk kucing dan beliau bercadang untuk memperluaskan lagi perniagaanya pada masa akan datang.

“Saya berhasrat untuk mengembangkan ‘Hotel For Cat’ sebagai ‘One stop center’ yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan keperluan untuk kucing,” katanya.

Sementara itu, Akram berkata tempahan hotel kucing di kedainya sempena Aidilfitri telah penuh sejak awal Ramadan dan beliau terpaksa tidak lagi menerima tempahan.

Akram berkata kadar caj yang dikenakan adalah sekitar RM8.00 sehari untuk anak kucing dan sekitar RM36.00 sehari bagi bilik jenis apartment untuk tiga ekor kucing tidak termasuk makanan dan pasir kucing.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel