Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Budaya memberi oleh wakil rakyat bukan Islam tidak harus dipolitikkan


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





MELAKA, 2 Jun (Bernama) -- Budaya memberi khususnya dalam kalangan wakil rakyat bukan Islam pada bulan Ramadan di negeri Melaka adalah satu tindakan positif dan tidak harus dipolitikkan, kata Ketua Menterinya  Adly Zahari.

Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka berkata tindakan mempolitikkan isu itu terutama pemberian makanan kepada masyarakat beragama Islam bukan sahaja dilihat sebagai tidak matang malah akan merugikan umat Islam.

"Mengapa apabila mereka (wakil rakyat bukan Islam) memberi bubur lambuk kita mengatakan ia bercanggah dengan Islam tetapi apabila mereka memberi kewangan dan baju ianya tidak dibantah.

Saya fikir tidak wajar kita mempertikaikan kerana pemberian itu sama ada dalam bentuk makanan atau sebagainya, yang penting ianya halal dan mengambil kira keperluan masyarakat Islam di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Harapan Rakyat Anjuran Wanita PH Kota Melaka di Telok Mas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mengecam wakil rakyat bukan Islam di negeri ini mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat Islam sempena bulan Ramadan ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang paderi bersama Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong memberi bubur lambuk kepada pengguna jalan raya dan tindakan itu menjadi pertikaian sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Adly berkata tiada salahnya wakil rakyat bukan Islam mengagihkan makanan kepada umat islam sebagai sokongan atau bantuan kepada mereka yang berpuasa memandangkan negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan hidup dalam keharmonian.

Beliau berkata setiap wakil rakyat di negeri ini termasuk yang bukan beragama Islam mempunyai peruntukan di peringkat dewan undangan negeri untuk melakukan aktiviti kebajikan kepada rakyat dalam bentuk sumbangan makanan, kewangan atau bantuan lain dan tidak berbangkit isu penggunaan zakat untuk tujuan itu.

"Di peringkat negeri juga kita telah mengarahkan semua wakil rakyat perlu menyumbang kepada golongan yang memerlukan tidak kira dalam menyambut perayaan apa sekali pun kerana ia merupakan satu budaya yang baik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran Pasar Harapan Rakyat bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan harian seperti minyak, tepung dan gula pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran selain berpeluang mendapatkan pakaian terpakai.

"Ia adalah satu inisiatif yang baik anjuran Wanita PH Kota Melaka dan kita mengharapkan model ini dapat diperluaskan di seluruh negeri dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan pada harga kos," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel