Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TM akan pertingkat perkhidmatan Unifi di Kelantan


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





KOTA BHARU, 2 Jun (Bernama) -- Telekom Malaysia Berhad (TM) Kelantan sedang mempertingkat rangkaian jenama konvergen, Unifi, supaya 30,000 pelanggan di negeri ini yang masih dalam rangkaian 'tembaga’ dapat bertukar kepada rangkaian perkhidmatan itu, kata Pengurus Besar, Azman Yusof.

Beliau berkata, pelanggan Unifi di negeri ini berjumlah kira-kira 10,000 setakat hari ini dan angka itu agak terkebelakang berbanding negeri lain.

“Keadaan geografi selain kedudukan kediaman dan kekurangan taman perumahan menyebabkan perkhidmatan Unifi di Kelantan agak terbelakang berbanding negeri lain selepas mula diperkenalkan pada 2015.

“Bagaimanapun, kita sentiasa akan meningkatkan rangkaian dari semasa ke semasa dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan negeri,” katanya semasa bertemu media di sini, hari ini.

Mengenai liputan Unifi di negeri ini, Azman berkata, buat masa ini, dianggarkan kawasan liputan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus sahaja.

Dalam perkembangan terbaru, TM kini meneruskan gerakan #khabarbaik dengan menawarkan pelan Unifi terbaharu dengan kelajuan 300Mbps termasuk Pek Tanpa Had Unifi TV bersama baucar 100 filem blokbuster percuma pada RM199 sebulan.

Beliau berkat pakej itu turut didatangkan bersama masa berbual selama 600 minit ke talian tetap dan mudah alih di seluruh negara.

Sejak pengenalan gerakan #khabarbaik pihaknya telah berkongsi beberapa berita baik yang menumpukan peningkatan pengalaman pelanggan TM menerusi pemasangan perkhidmatan Unifi dalam tempoh 24 jam, katanya.

“Pelan Unifi 300Mbps ini boleh dilanggani bermula 15 April, 2019 menerusi dalam talian di laman web unifi.com.my, cawangan TMpoint di seluruh negara, wakil jualan TM serta ejen berdaftar.

“Selain pekej ini, kita juga menawarkan pakej Unifi Basic dengan kelajuan 30Mbps pada RM79 sebulan, dan bagi kelajuan 100Mbps pula ditawarkan pada RM129,” katanya.

Beliau berkata bagi kawasan yang masih belum dibekalkan dengan perkhidmatan Unifi, TM baru saja menawarkan pakej Streamyx Jimat Hebat di kawasan yang mempunyai rangkaian ‘tembaga’ dengan kelajuan 4Mbps pada RM88.

TM turut memperkenal pakej Unifi Mobile dengan RM59 sebulan tanpa had kepada anggota jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pesara tentera dengan tempoh langganan sehingga 30 Jun ini.

“Pakej itu juga kita tawarkan kepada pekerja syarikat perusahaan kecil dan sederhana dengan tempoh langganan sehingga 31 Ogos. Boleh dikatakan pakej ini adalah sesuai untuk seluruh masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel