Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anak ambil alih tugas ketua keluarga selepas bapa hidap kanser


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





BATU PAHAT, 2 Jun (Bernama) -- Belum hilang kesedihan dua beradik setelah kehilangan ibu mereka dua tahun lepas akibat kanser usus, kini mereka berhadapan sekali lagi dugaan apabila bapa mereka pula disahkan menghidap penyakit sama.

Nur Fatin Syazwani Ab Karim, 26, berkata doktor mengesahkan bapanya, Ab Karim Atan, 57, menghidap kanser usus tahap empat, Mac lepas, selepas Ab Karim kerap mengadu mengalami sakit perut.

Bekerja sebagai  kerani, dia kini terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga apabila bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

Adiknya, Nur Fatin Syazana, 24, yang kini dalam pengajian tahun akhir di Universiti Putra Malaysia pula terpaksa bekerja sambilan untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Semenjak ayah sakit, dia sudah enam kali mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Rahmat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nur Fatin Syazwani menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Jati Batu Pahat, yang disampaikan Pengerusi Khas Biro Kebajikannya, Mohd Hamidi Mad Tap.

Menurut Nur Fatin Syazwani, bapanya perlu menjalani rawatan lanjut pada hari raya kedua di HSNI, menyebabkan mereka sekeluarga langsung tidak bersemangat membuat persiapan Aidilfitri disebabkan kewangan yang agak terhad kerana perlu menampung perbelanjaan perubatan ayahnya.

“Selain menggunakan wang gaji bulanan, saya juga sudah menggunakan wang simpanan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk ayah.

“Satu tin susu harganya hampir RM90 dan ayah memerlukan tiga hingga empat tin seminggu, manakala ayah juga perlu memakai sehingga 10 helai lampin pakai buang setiap hari,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh berhubung dengan Nur Fatin Syazwani di talian 012-7852635 atau menerusi akaun CIMB Bank, Nur Fatin Syazana bernombor 7615 5986 22.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel