Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Felda dirayu tangguh kutip hutang peneroka sempena Aidilfitri


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





KULAI, 2 Jun (Bernama) -- Pihak pengurusan Felda hari ini dirayu supaya menangguhkan kutipan hutang peneroka sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan supaya dapat memberi keselesaan golongan terbabit menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Datuk Mazlan Aliman berkata hampir 40 peratus daripada pendapatan peneroka pada setiap bulan dipotong untuk membayar hutang pinjaman mereka kepada Felda.

“Setiap bulan pendapatan peneroka hanya berbaki sekitar RM600 sahaja, bagaimana mereka dapat menyambut hari raya, sedangkan pendapatan yang mereka perolehi juga sedikit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada 60 asnaf anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kulai menerusi Program Kasih PPK Kulai, di sini hari ini.

Mazlan berkata kewajaran penangguhan bayaran hutang peneroka dilihat perlu berikutan ketidakstabilan harga komoditi kelapa sawit selain musim melawas yang agak panjang ketika ini.

Beliau yang juga Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) turut menggesa FGV Holdings supaya memberikan dividen interim yang diamalkan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Mazlan, pemberian dividen interim yang masih belum diputuskan FGV Holdings sehingga kini perlu dilaksanakan, kerana ia dapat menambah sumbangan duit raya RM300 yang diumumkan kerajaan kepada peneroka sempena Aidilfitri.

Tambah beliau, biasanya peneroka memperoleh purata dividen interim antara RM800 hingga RM900 bagi menghadapi perayaan setiap tahun, malah amalan itu telah bermula sejak tahun 2003.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan semua peneroka Felda akan mendapat ‘duit raya’ RM300.

"Kegembiraan kepada kita kerana ia diberi kepada semua 112,635 peneroka Felda berbanding kerajaan lama yang hanya mengagihkan kepada mereka yang bersama Felda saja, tetapi tidak yang uruskan secara sendiri,” katanya.

Mazlan berkata amalan memberi duit raya tersebut biasanya digalas oleh Felda, namun, akibat masalah kewangan yang dihadapi agensi itu, maka tanggungjawab memberi duit raya tersebut harus dipikul kerajaan.

"FGV masih ada masa lagi untuk memberi dividen interm kepada peneroka dalam masa berbaki tiga hari sebelum raya ini supaya ianya dapat menambah RM300 duit raya yang diberikan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel