Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis kenal pasti pemilik Proton Wira kelabu cuba larikan diri


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





JOHOR BAHRU, 2 Jun (Bernama) -- Polis sudah mengenal pasti pemilik kereta Proton Wira berwarna kelabu yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di Jalan Taman Persiaran Sri Putri, Taman Putri dekat Kulai, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata usaha mengesan pemilik kenderaan terbabit dilakukan bagi mengetahui sebarang penglibatan dalam mana-mana kes jenayah.

“Perbuatan memandu secara melulu suspek membahayakan orang lain, selain tidak mengikut arahan polis untuk berhenti dan terpaksa dikejar oleh beberapa kenderaan polis.

“Justeru, kita perlu dapatkan suspek untuk mengetahui penglibatannya dalam apa-apa kes jenayah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Semalam, tular video berdurasi kira-kira 10 saat yang menyaksikan polis mengejar dua suspek menaiki sebuah Proton Wira di lampu isyarat di Pekan Kelapa Sawit dekat Kulai.

Turut kedengaran satu das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan yang dipandu laju itu, namun, kedua-dua suspek berjaya meloloskan diri dengan masuk ke dalam semak sehingga ke Taman Murni Jaya, Layang-Layang, dekat Kluang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga seorang anggota polis yang maut manakala rakan setugasnya cedera parah akibat dirempuh sebuah motosikal ketika mereka sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, pada 6.40 pagi, semalam.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses mendapatkan tuntutan insurans dan sebagainya selain membantu keluarga kedua-dua anggota berkenaan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada netizen-netizen yang mengambil berat mengenai kematian kedua-dua anggota,” katanya.

Semalam, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, serta penunggang motosikal berumur 36 tahun berkenaan cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel