Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K’jaan Johor rancang guna tenaga pakar teroka bekalan air bersih


Tarikh kemaskini: 02/06/2019




BATU PAHAT, 2 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor merancang menggunakan tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi untuk meneroka serta mencari sumber baharu  bekalan air bersih di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata ia dilakukan memandangkan di negeri ini kini hanya bergantung kepada sungai dan air takungan di beberapa empangan di mana ada kalanya bekalan berkenaan agak terhad.

Beliau berkata sehubungan itu, tenaga pakar di dua universiti utama di negeri ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ditagih untuk mencari sumber air bersih baharu berkenaan.

“Saya akan bertemu dan berbincang dengan beberapa pihak yang berkaitan, yang merancang untuk menggunakan air dari bawah tanah sebagai sumber alternatif bagi bekalan air bersih di Johor.

“Satu mesyuarat akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini bagi membincangkan kebaikan dan kelemahan menggunakan air dari bawah tanah ini, sekali gus  jawatankuasa berkaitan juga bakal dibentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ‘Shopping Raya’ bersama 133 anak yatim dan keluarga miskin dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Ya’ani, di sini hari ini.

Aminolhuda berkata dalam masa sama, pihaknya juga akan mencari lokasi sesuai bagi sumber air bawah tanah tersebut, di mana beliau percaya Johor sememangnya mempunyai banyak sumber air bawah tanah.

“Saya difahamkan UTHM terutamanya sememangnya mempunyai tenaga pakar berkenaan, di mana mereka pernah melaksanakannya bagi mendapatkan sumber air bersih ini di beberapa tempat di Indonesia.

“Sebagai EXCO Pendidikan, saya berharap UTHM dapat memberikan kerjasama dalam usaha ini, melalui pengalaman mereka dan tidak ketinggalan juga bagi UTM serta beberapa institusi pendidikan lain di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel