tOcE7GOtH6s Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah bernilai RM3.2 juta
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah bernilai RM3.2 juta


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





JOHOR BAHRU, 2 Jun (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta daripada mereka menerusi empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata serbuan berkenaan merupakan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan Bukit Aman selepas berjaya mengesan kegiatan kumpulan itu sejak lima bulan lepas.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 27 dan 31 tahun yang merupakan dalang utama, masing-masing ditahan antara 3 petang dan 6 pagi, di sebuah rumah dan gudang logam di Taman Mount Austin, Plaza Tol Kulai serta sebuah rumah di Taman Desa Tebrau.

“Hasil serbuan secara berturutan itu, kita (polis) merampas 119,400 biji pil Eramin 5; 17,450 biji pil ekstasi, 8,414 gram serbuk ekstasi, 220 gram ketamin serta 415 gram cecair syabu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain dadah, antara barangan yang turut dirampas adalah sebuah kereta Mercedes Benz dan Toyota Vios, seutas rantai leher dan dua cincin, seutas jam tangan jenama Rolex dan Casio serta wang tunai bercampur berjumlah RM2,350.

Mohd Khalil berkata kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan tempatan serta dipercayai diperoleh dari utara negara ini.

Beliau berkata polis setakat ini tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan mencari peluang untuk menjadikan Johor sebagai transit bahan berkenaan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan dihantar melalui pos laju memandangkan sampul berkenaan turut digunakan, walau bagaimanapun, ia masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek lain juga masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah dan ketiga-tiganya mempunyai rekod pelbagai kes jenayah lampau.

Kesemua mereka kini ditahan reman mulai Jumaat lepas hingga 7 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, mengenai Op Selamat 15/2019, Mohd Khalil berkata 1,068 kemalangan jalan raya dicatatkan berlaku dalam tempoh empat hari di negeri ini sejak operasi itu bermula Khamis lepas, berbanding 933 kemalangan dicacatkan bagi tempoh 10 hari operasi sama, tahun lepas.

Menurutnya, antara kawasan panas yang sering berlaku kemalangan bagi operasi kali ini adalah jalan bandaran di seluruh Johor yang turut mencatatkan sembilan kes kemalangan maut dengan 10 kematian.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel