Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hampir setahun ditipu pelaburan tak wujud


Tarikh kemaskini: 02/06/2019





KUANTAN, 2 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pengawal keselamatan diperdayakan selama hampir setahun sehingga kerugian RM17,950 dalam pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 56 tahun mendakwa suspek telah menghubunginya menerusi pesanan di laman sosial pada 22 Julai tahun lepas. 

"Mangsa mendakwa suspek meminta nombor telefonnya dan mengajak dia menyertai pelaburan perniagaan duit syiling lama. Mangsa kemudiannya memindahkan RM600 ke dalam akaun suspek sebagai tanda setuju. 

"Bagaimanapun, suspek berterusan meminta mangsa memasukkan wang ke akaun berasingan sehingga mangsa akhirnya berasa curiga dan membuat laporan polis semalam," katanya. 

Mohd Wazir berkata laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang warga emas mengeluarkan wang simpanan dia dan suami berjumlah RM58,400 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam kononnya dia terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram. 

Mangsa, 62, mendakwa dihubungi suspek wanita yang mendakwa dari ibu pejabat penghantaran surat di Kuala Lumpur pada 29 Mei lepas, memaklumkan terdapat notis gagal membayar cukai di atas namanya. 

"Panggilan itu kononnya disambungkan ke balai polis di Sabah dan mangsa diberitahu kes cukai telah selesai, namun terlibat pula dalam kes yang lebih berat dan perlu pula bercakap dengan pegawai polis Bukit Aman bernama ASP Yong. 

"Mangsa mendakwa ASP Yong memberi jaminan boleh menyelesaikan kes itu, namun dia perlu merahsiakan perkara itu dan memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek sebagai bayaran jamin," katanya. 

Mohd Wazir berkata mangsa telah membuat 14 kali transaksi pemindahan wang ke dalam akaun diberikan 'pegawai polis itu' sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket itu. 

Sehubungan itu, Mohd Wazir menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah mempercayai panggilan daripada pihak tidak dikenali atau pesanan yang diterima di laman sosial. 

"Jika terdapat keraguan, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pihak bank atau tampil ke balai polis sebelum melakukan sebarang transaksi pemindahan wang," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel