Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

OKU cekal siapkan tempahan baju raya dengan sebelah tangan


Tarikh kemaskini: 02/06/2019




Oleh Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli

BANDAR PERMAISURI, 1 Jun (Bernama) -- Biarpun hanya tangan kirinya sahaja yang dapat digunakan, wanita muda ini terus cekal dan gigih menyiapkan tempahan baju raya para pelanggannya. 

Nur Fadhilah Mahmud, 27, yang mengalami kecacatan kekal pada tangan dan kaki kanannya sejak lahir tetap bersyukur dikurniakan kemahiran menjahit pelbagai fesyen busana Melayu yang menjadi sumber pendapatannya.

“Tangan sebelah kanan saya tidak dapat berfungsi dan kaki kanan pula sedikit bengkok membuatkan saya tidak dapat berjalan tegak seperti orang lain, disebabkan itu apabila memotong kain saya akan memotong di lantai menggunakan tangan kiri dengan sokongan kaki.

Bagi ukuran baju pelanggan, saya minta mereka membawa baju contoh untuk diambil ukuran saiz kerana saya tidak boleh mengukur badan mereka seperti yang dilakukan oleh tukang jahit yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Felda Chalok Rahmat, di sini.

Walaupun mengalami kekangan fizikal, gadis manis yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu  mampu menyiapkan dua pasang pakaian sehari.

-- LAGI

 

OKU-MENJAHIT 2 BANDAR PERMAISURI 

 

Tetapi baju Melayu pula mengambil masa yang agak lama ekoran penghasilannya yang agak rumit, katanya.

Demi menjaga kualiti jahitannya Nur Fadhilah hanya mengambil 50 pasang tempahan pakaian raya untuk tahun ini dengan bayaran upah RM30 hingga RM90 sepasang mengikut jenis pakaian.

“Selalunya setiap pelanggan akan tempah lebih daripada dua pasang baju dan ada sehingga tujuh pasang, disebabkan itu saya terpaksa mengehadkan jumlah pakaian yang diterima kerana risau akan mengecewakan pelanggan sekiranya baju yang ditempah tidak sempat disiapkan sebelum hari lebaran.

“Alhamdulillah setakat ini tiada pelanggan yang merungut atau tidak puas hati. Mereka pun faham, dan saya akan berterus terang jenis perkhidmatan yang mampu saya buat,” katanya.

Mengimbas detik permulaan sebagai tukang jahit tiga tahun lalu, Nur Fadhilah berkata pada awalnya beliau hanya menjahit pakaian untuk keluarga sahaja, namun apabila ada kalangan jiran-jiran yang datang ke rumah dan melihat hasil jahitannya, mereka memintanya untuk menjahitkan pakaian mereka.

-- LAGI

 

OKU-MENJAHIT 3 (AKHIR) BANDAR PERMAISURI 

 

Daripada situ hasil kerja tangannya menjadi buah mulut dan mula menerima tempahan dari jauh, malah ada yang sanggup datang dari Kuala Terengganu untuk mendapatkan khidmatnya.

“Kebanyakan yang datang (pelanggan) terdiri daripada pelanggan tetap yang telah biasa menempah pakaian dengan saya,” katanya.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu pada asalnya bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun cita-citanya berubah apabila berjaya menyiapkan sepasang baju kurung ketika mengikuti kursus menjahit di pusat latihan GiatMara di Setiu.

“Pada waktu itu selepas habis STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan saya hanya mengikuti kursus menjahit di GiatMara sekadar suka-suka.

Tetapi apabila dapat siapkan sepasang baju kurung saya rasa teruja dan tidak sangka OKU (orang kelainan upaya) seperti saya mampu menghasilkan sesuatu,” katanya.

 Semangat untuk membuktikan OKU sepertinya mampu berdikari semakin membara apabila menyambung kursus menjahit di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor setelah melihat ada pelatih di sana yang mempunyai kekurangan fizikal yang lebih teruk daripadanya.

“Sekurang-kurangnya saya masih mampu berjalan dan tangan kiri saya boleh digunakan. Malah ada rakan-rakan di sana yang kudung tangan dan ada yang kudung kaki tetapi mampu menjahit. Kalau mereka boleh kenapa saya tidak boleh?,” katanya.   

-- BERNAMA


WZI BBJ PR KLS

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel