Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangka panjang sisa Lynas masih berbahaya - Fuziah


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





KUANTAN, 1 Jun (Bernama) -- Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh tetap berpendirian bahawa sisa kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini, perlu dihantar pulang meskipun ada pihak mengatakan radiasi yang dihasilkan adalah rendah.

Beliau turut mempersoalkan apakah tindakan yang akan dilakukan jika berlaku peningkatan mendadak kes penyakit kanser di kawasan berhampiran kilang Lynas pada masa akan datang, memandangkan tiada kajian dasar kesihatan penduduk dilaksanakan di situ.

"Saya ingin mengingatkan bagi radiasi tahap rendah, kesannya bukan boleh dilihat semalam dua tetapi mungkin  berpuluh tahun," katanya kepada media selepas menghadiri Program Ziarah Tautan Kasih Santuni Ibu Bapa di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau berpandangan amalan terbaik yang boleh dilakukan ialah menghantar semula sisa itu ke Australia untuk dilupuskan di lombong di sana jika Lynas dibenarkan untuk meneruskan operasinya di negara ini.

"Jika Lynas bina kilang di Australia, itu yang akan dilakukan iaitu menghantar sisa ke lombong. Kenapa perlu ada dwistandard? Kenapa di sini mereka kata ia boleh diletakkan berdekatan kilang, di kawasan yang dekat dengan sungai dan laut?," soalnya.

Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang Lynas di sini untuk terus beroperasi.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam dilaporkan berkata penghantaran pulang sisa radioaktif  dihasilkan kilang Lynas adalah prasyarat bagi menyambung lesen operasi kilang tersebut di negara ini. 

Sementara itu dalam program berkenaan, seramai 45 penghuni Kompleks Asnaf MUIP menerima sumbangan wang tunai, pakaian dan kuih-muih sempena sambutan Aidilfitri.

Kompleks Asnaf MUIP yang mula beroperasi pada 2010 ketika ini mampu menampung 50 penghuni dengan dikendalikan 22 pekerja.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel