Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suri rumah parah terkena serpihan jubin dipanah petir


Tarikh kemaskini: 01/06/2019




PENDANG, 1 Jun (Bernama) -- Seorang suri rumah mengalami kecederaan parah pada bahagian paha kiri, lengan serta kaki kanan selepas terkena serpihan jubin yang meletup akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Rimau, Mukim Air Putih di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, mangsa, Maznah Awang Pa, 47, sedang memasak di bahagian dapur rumahnya untuk bersahur keesokan hari (hari ini).

Menurut suami mangsa, Azizan Mad Desa, 52, ketika isterinya berada berhampiran kabinet jubin, tiba-tiba berlaku panahan petir di bahagian belakang rumahnya lalu menyambar periuk nasi elektrik di atas kabinet jubin dan menyebabkan jubin itu meletup sehingga serpihannya mengenai isterinya.

“Ketika panahan petir itu, bekalan elektrik terputus, periuk nasi elektrik meletup dan keadaan tiba-tiba menjadi panik apabila terdengar suara isteri meminta tolong… selepas mencapai lampu suluh saya melihat dia sedang merangkak meminta tolong dan paha kirinya berlumuran darah.

“Panahan petir yang dipercayai memasuki dapur rumah turut menyebabkan sistem pendawaian elektrik keseluruhan rumahnya turut rosak dan terbakar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azizan berkata, kejadian ini menyebabkan dia kerugian hampir RM10,000 apabila peti sejuk dan televisyen yang baru dibeli bulan lepas serta beberapa perkakasan elektrik lain untuk menyambut perayaan Aidilfitri rosak.

Namun beliau bersyukur kerana dia dan empat lagi anggota keluarganya yang turut berada di dalam rumah termasuk seorang cucu berusia tujuh tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Isteri Azizan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Muhd Fairus Rosdi mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.46 malam tadi sebelum tiga anggotanya bergegas ke lokasi.

“Anggota yang tiba mendapati mangsa yang cedera berada di dalam rumah sebelum membawanya terus ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menasihat orang ramai agar berwaspada ketika mengguna peralatan elektrik terutama ketika cuaca hujan dan ribut serta sentiasa menanggalkan palam dari soket elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kanak-kanak dua tahun maut dipercayai ditikam bapa saudara

 
     

Kanak-kanak OKU catat rekod MBR, sertai kayuhan rentas sempadan 222.2km

 
     

Taktik sembunyi dadah bernilai RM1 juta dalam timbunan tanah tumpas

 
     

Pelancong penuhi lokasi menarik di Langkawi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel